Rais Yasin Tinjau Lokasi Banjir, Kolam Takungan Bakal Diselenggara
SUNGAI UDANG, 18 Nov – Kebajikan dan keselamatan penduduk terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin yang turun padang meninjau beberapa kawasan terjejas banjir kilat susulan kejadian limpahan air yang mengganggu kehidupan penduduk setempat.
Antara lokasi yang dilawati ialah Taman Terendak Permai, Plaza Sungai Udang, Taman Keris Emas dan Paya Rumput Jaya bagi melihat sendiri keadaan semasa serta mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk.
Dalam tinjauan itu, Rais turut memberi perhatian kepada keadaan kolam takungan di Taman Terendak Permai yang mengalami limpahan air dan dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan itu akan dilaksanakan sebagai langkah mengurangkan risiko kejadian banjir berulang, sekali gus memberi keselesaan dan perlindungan lebih baik kepada penduduk.
“Apabila kediaman dan kawasan sekitar dinaiki air, sudah tentu ia menimbulkan keresahan kepada penduduk, lebih-lebih lagi apabila rutin harian mereka turut terjejas.
“Sebab itu saya turun sendiri untuk melihat keadaan di lapangan, mendengar permasalahan yang dibangkitkan dan berbincang dengan pihak berkaitan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Menurut beliau, perbincangan bersama agensi teknikal turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti punca banjir serta langkah penyelesaian yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
Turut menyertai tinjauan itu ialah Brigedier Jeneral Datuk Khairul Izan Muhammad Suffian, Komander Artileri Divisyen 3 Divisyen; Datuk Shadan Othman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Dr. Rahmat, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Saudara Fasarul Md Isa, Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu serta barisan pimpinan setempat.
Rais turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dan bantuan di lapangan, khususnya agensi berkaitan yang memainkan peranan dalam menangani isu banjir berkenaan.
“Keutamaan saya adalah memastikan suara dan keluhan penduduk tidak dipandang ringan. Setiap permasalahan yang dibangkitkan perlu diberikan perhatian dan disusuli tindakan, bukan sekadar melihat keadaan di lapangan.
“Insya-Allah, saya akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan usaha penyelesaian dilaksanakan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut berharap penduduk yang terjejas diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan, sambil menegaskan komitmen untuk terus membawa isu rakyat kepada perhatian pihak berkaitan sehingga tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan. – UMNO Online
