Penduduk Pesisir Pantai Diminta Waspada Hujan Lebat, Air Pasang Besar
PUTATAN, 18 Nov – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, menyeru penduduk yang tinggal di kawasan sekitar pesisir pantai Putatan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan kemungkinan berlakunya hujan lebat serta fenomena air pasang besar.
Beliau mengingatkan penduduk agar tidak mengambil mudah sebarang perubahan cuaca, khususnya mereka yang menetap di kawasan rendah, berhampiran pantai dan lokasi yang berisiko mengalami banjir atau limpahan air laut.
Menurutnya, langkah kesiapsiagaan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, selain memastikan keselamatan diri serta ahli keluarga sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya ingin mengingatkan seluruh penduduk, khususnya yang tinggal di kawasan pesisir pantai Putatan, supaya sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca semasa. Jika berlaku hujan lebat dan air pasang besar, jangan ambil mudah kerana keadaan boleh berubah dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa memantau perkembangan cuaca, mengelakkan kawasan berisiko, memastikan barangan penting dan dokumen peribadi disimpan di tempat selamat serta segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya keadaan semakin membimbangkan.
Jeffery berkata, aspek keselamatan tidak seharusnya dipandang ringan kerana tindakan awal dan sikap saling mengingatkan antara satu sama lain mampu membantu mengurangkan risiko serta mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi buruk baru hendak bertindak. Saya berharap semua penduduk dapat memainkan peranan masing-masing, saling membantu dan sentiasa mengutamakan keselamatan keluarga serta komuniti,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berharap agar semua penduduk di Putatan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan dilindungi daripada sebarang musibah.
“Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita semua, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan daripada sebarang bencana. Keselamatan kita adalah tanggungjawab bersama,” katanya lagi. – UMNO Online
