Rakyat Diutamakan, ADUN Behrang Tangani Risiko Banjir Dan Kerosakan Jalan
TANJONG MALIM, 18 Nov – Kebajikan dan keselamatan penduduk terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin apabila beberapa aduan berkaitan banjir, kerosakan jalan dan keselamatan awam diberi perhatian menerusi tindakan susulan bersama agensi berkaitan.
Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah kerja-kerja mengorek dan melebarkan aliran Sungai Berdak susulan aduan yang dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir di laluan berkenaan.
Langkah itu diharap dapat mengurangkan masalah banjir yang sering mengganggu pergerakan penduduk, khususnya anak-anak yang menggunakan laluan tersebut untuk ke sekolah serta masyarakat yang perlu keluar masuk kampung bagi urusan harian.
Salina berkata, masalah banjir yang berulang bukan sekadar menjejaskan keadaan laluan, malah turut memberi kesan kepada urusan harian dan pergerakan penduduk setempat.
“Apabila laluan utama penduduk terjejas akibat banjir, banyak urusan harian turut terganggu. Anak-anak perlu ke sekolah, manakala penduduk juga perlu menggunakan laluan tersebut untuk pelbagai keperluan. Kita berharap usaha yang dilaksanakan ini dapat mengurangkan masalah yang dihadapi mereka,” katanya.
Beliau turut berharap kerja-kerja berkenaan dapat membantu melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir, sekali gus memberikan lebih keselesaan kepada penduduk.

Turut sama meninjau ialah Tok Batin Kampung Pos Bersih, En. Mansor yang sama-sama turut turun melihat kerja-kerja yang sedang dijalankan. Dalam hal ini, Salina merakamkan penghargaan kepada pihak JPS atas tindakan diambil serta kerjasama Tok Batin yang sentiasa membantu menyampaikan aduan dan permasalahan penduduk.
Dalam perkembangan lain, kerja-kerja pembersihan pascabanjir turut dilaksanakan di Rumah Awam 3 dan Taman Sentosa, Tanjong Malim.
Terdahulu, Salina menerima aduan penduduk Taman Berop Idaman berhubung kejadian mendapan tanah dan bahu jalan runtuh di susur keluar taman berkenaan yang dipercayai berpunca daripada aliran air banjir baru-baru ini.
Insiden itu turut mengundang kebimbangan apabila seorang penduduk, En. Saufee, terjatuh ke dalam rekahan berkenaan ketika cuba meletakkan kon keselamatan bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya.
Susulan aduan tersebut, Salina turun sendiri ke lokasi tengah hari tadi bersama Ahli Majlis, Pn. Jolene, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), Belati Wangsa dan Puncak Emas bagi meninjau keadaan serta membincangkan tindakan yang perlu diambil.
Hasil tinjauan itu, pihak agensi berkaitan telah mengambil tindakan segera di kawasan berkenaan demi memastikan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.
“Apabila melibatkan keselamatan orang ramai, tindakan segera amat penting. Kita tidak mahu kerosakan seperti ini dipandang ringan kerana ia boleh mengundang risiko kepada penduduk dan pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi apabila sudah ada kejadian individu terjatuh ke dalam rekahan tersebut,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang segera menyalurkan maklumat serta JKR Muallim dan Yang Dipertua MDTM atas kerjasama dan tindakan pantas yang diberikan.
Dalam masa sama, beliau mendoakan agar En. Saufee diberikan kesembuhan dan tidak mengalami kecederaan serius.
Menurut Salina, pemantauan terhadap kawasan lain yang berpotensi mengalami banjir kilat juga akan diteruskan bagi membolehkan tindakan awal dikenal pasti dan dilaksanakan.
“Setiap aduan penduduk membawa kepentingan tersendiri kerana ia berkait rapat dengan keselamatan, keselesaan dan kehidupan seharian mereka. Sebab itu, saya akan terus memberi perhatian kepada masalah yang disampaikan dan berusaha mendapatkan kerjasama agensi berkaitan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya lagi. – UMNO Online
