Melaka Tak Relaks… Fokus Khidmat Pada Rakyat

MELAKA, 17 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memulakan hari pertama tugas bagi penggal kedua sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 menerusi simbolik ‘clock-in’ di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, pagi tadi.

Ketibaan beliau disambut mesra dan penuh meriah oleh pegawai serta kakitangan Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) yang lebih awal menantikan kehadirannya di Lobi Bendahari, Kompleks Seri Negeri.

Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Md Azhan Samat; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat serta Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil.

Ab Rauf berkata, mandat baharu yang diberikan bukan sekadar satu amanah untuk disandang, sebaliknya merupakan tanggungjawab besar yang wajib ditunaikan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, beliau bersama seluruh barisan kepimpinan dan jentera pentadbiran negeri bertekad memastikan setiap janji dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertemakan ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’ diterjemahkan kepada pelaksanaan serta hasil yang dapat dirasai rakyat.

“Bagi saya, mandat baharu ini bukan sekadar satu amanah untuk disandang, tetapi tanggungjawab besar yang wajib ditunaikan,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama pentadbiran ketika ini adalah menggerakkan pelaksanaan 100 hari pertama, diikuti garis panduan manifesto bagi tempoh setahun dan lima tahun seperti yang telah dirancang.

“Kita tidak mahu sekadar berjanji. Kita mahu bekerja, melaksana dan membuktikan,” tegasnya.

Ab Rauf turut menegaskan bahawa mandat yang diberikan rakyat perlu dibalas menerusi khidmat bakti dan komitmen kerja bersungguh-sungguh oleh seluruh jentera kerajaan negeri.

“Rakyat telah memberikan mandat, maka menjadi tanggungjawab kita untuk membalasnya dengan khidmat dan kerja yang bersungguh-sungguh.

“Insya-Allah, Melaka tak relaks! Kita terus bergerak, terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berharap seluruh barisan kepimpinan dan pentadbiran negeri dapat terus berganding bahu memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap perancangan kerajaan negeri memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO