Perlombongan Mata Wang Kripto: 265 Serbuan Telah Dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Sebanyak 265 serbuan telah dilaksanakan di daerah Manjung untuk kesalahan perlombongan mata wang kripto, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ketika sesi soal jawab di Parlimen beliau menegaskan kesalahan tersebut diberi perhatian serius oleh kerajaan kerana ia lazimnya melibatkan penggunaan bekalan elektrik secara tidak sah, pengubahsuaian meter atau pendawaian elektrik tanpa kebenaran, yang boleh menyebabkan kerugian kepada syarikat utiliti serta meningkatkan risiko kebakaran dan ancaman keselamatan kepada orang awam.

”Di daerah Manjung, Perak, tindakan penguatkuasaan secara bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras kegiatan tersebut. Kesalahan berkaitan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990, manakala perbuatan yang melibatkan khianat boleh disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Bagi tempoh 2024 hingga Ogos 2026, sebanyak 265 serbuan telah dilaksanakan di daerah Manjung dengan 43 tangkapan dibuat dan 26 individu telah dituduh di mahkamah.

“Antara cabaran utama dalam membanteras kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram adalah kerumitan dalam mengenal pasti pemilik sebenar, pengendali serta pihak yang mendapat manfaat daripada aktiviti tersebut. Kegiatan ini lazimnya menggunakan crypto wallet dan platform mata wang kripto yang beroperasi di luar negara, termasuk melalui penyedia perkhidmatan yang berpusat di luar bidang kuasa Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, PDRM dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk CyberSecurity Malaysia telah melaksanakan risikan serta analisis terhadap transaksi dan aliran kewangan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat.

“Walau bagaimanapun, sekiranya pemilik crypto wallet, pengendali platform atau penyedia perkhidmatan berkaitan berada di luar negara, proses mendapatkan maklumat pemilikan, rekod transaksi dan bukti digital yang diperlukan menjadi lebih kompleks serta bergantung kepada kerjasama dan mekanisme perundangan antarabangsa.

“Selain itu, kegiatan ini turut berselindung di sebalik premis sewaan, akaun utiliti dan identiti pihak ketiga bagi mengaburi pihak berkuasa serta menyukarkan pengesanan terhadap individu yang sebenarnya mengawal dan mengendalikan operasi berkenaan.

“Dalam sesetengah keadaan, pemilik premis, pemegang akaun elektrik dan individu yang mengendalikan mesin perlombongan merupakan pihak yang berbeza. Justeru, kehadiran mesin perlombongan di sesuatu premis tidak semestinya dapat secara langsung mengaitkan pemilik premis atau individu yang berada di lokasi tersebut sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap kegiatan berkenaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan memerlukan keterangan yang mencukupi dan kukuh, termasuk keterangan teknikal, forensik dan bukti digital.

“Dari aspek pembuktian pula, siasatan perlu mengenal pasti hubungan antara suspek dengan premis, bekalan elektrik, peralatan perlombongan, akaun kewangan serta hasil mata wang kripto yang diperoleh.

“Oleh itu, tindakan membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan memerlukan keterangan yang mencukupi dan kukuh, termasuk keterangan teknikal, forensik dan bukti digital serta bukti berkaitan penyambungan atau penggunaan bekalan elektrik secara tidak sah.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap elemen kesalahan dapat dibuktikan dan rantaian keterangan dapat dilengkapkan sebelum pertuduhan dikemukakan di mahkamah,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO