Gobind… Jangan Terlalu Angkuh Dengan Kuasa – Nasrun
KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin menyelar kenyataan Gobind Singh Deo yang mencadangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya tidak lagi yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri.
Tegasnya, kenyataan ini bukan sekadar teguran politik. Ia seolah-olah satu tekanan supaya Presiden UMNO menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan.
“Sejak bila Dap ada hak menentukan kedudukan Presiden UMNO dalam kerajaan. Kalau UMNO bertindak demikian, akhirnya siapa yang akan dipersalahkan apabila negara kembali bergolak? Sudah tentu UMNO.
“Sedangkan UMNO selama ini banyak berkompromi demi memastikan kestabilan politik negara, selaras dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Gobind kena ingat, kerajaan hari ini bukan milik Dap. Banyak dasar dan keputusan kerajaan yang terpaksa dipikul serta dipertahankan oleh menteri-menteri UMNO, walaupun ada yang tidak disenangi akar umbi.
“Kalau Dap boleh bersuara dan mengkritik, kenapa apabila Presiden UMNO menyuarakan pandangan, terus disuruh letak jawatan? Dap boleh bersuara, UMNO kena diam? Politik jenis apa ni,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju tertanya-tanya adakah kenyataan Gobind ini ada kaitan dengan tekanan yang sedang dihadapi Dap, termasuk desakan supaya Anthony Loke melepaskan jawatan.
“Kalau benar, jangan pula tekanan terhadap pemimpin sendiri mahu dilepaskan kepada Presiden UMNO. Gobind jangan lupa, Zahid bukan menjadi Timbalan Perdana Menteri atas ihsan Dap. Kerajaan Perpaduan ini terbentuk atas persefahaman dan sokongan beberapa parti, termasuk UMNO.
“Dap jangan terlalu selesa dengan kuasa sehingga terlupa siapa yang turut membantu mereka berada dalam kerajaan hari ini.
“UMNO bukan parti yang boleh diperkotak-katikkan sesuka hati. Kita boleh berkompromi demi kestabilan negara, tetapi bukan sampai hilang maruah dan prinsip perjuangan,” tegasnya lagi.
Justeru kata Nasrun, sekiranya Dap mahu dihormati, belajarlah menghormati rakan sendiri terlebih dahulu.
“Jangan hanya pandai bercakap soal kestabilan, tetapi tangan sendiri sibuk menggoncang tiang kerajaan.
“… dan satu perkara Dap perlu ingat. UMNO ini rakan kerjasama, bukan kuda tunggangan politik Dap.
“Jangan terlalu mabuk kuasa sehingga terlupa bahawa jambatan yang membawa Dap masuk ke Putrajaya hari ini juga boleh retak akibat keangkuhan sendiri,” ujarnya.
Ujarnya lagi, kesabaran UMNO ada batasnya. Jangan sampai Dap terlalu sibuk menguji kesabaran UMNO, akhirnya kerajaan sendiri yang menerima padah. – UMNO Online
