‘Lebih Baik Gaji Mat Sabu Dipotong Kerana Jadi Menteri Gagal’ – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berpandangan bahawa lebih baik gaji Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (Mat Sabu) dipotong kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai menteri dengan sebaiknya.

Menerusi satu kenyataan, beliau turut mempersoalkan tindakan Mat Sabu yang ingin menyerahkan gajinya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membawa agenda tahanan rumah buat banduan sedangkan anggota kabinet dan pemimpin parti politik mempunyai saluran memperjuangkan polisi berkenaan.

“Amat ganjil apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mahu menyerahkan gajinya kepada NGO yang membawa agenda tahanan rumah buat banduan, sedangkan perkara itu bersifat pentadbiran yang boleh dibawa ke kabinet.

“…dan adakah memberi gaji kepada NGO benar-benar berkesan dalam mempengaruhi polisi kerajaan berkaitan tahanan rumah.

“Sebagai anggota kabinet dan pemimpin parti politik dalam kerajaan, Mat Sabu mempunyai saluran memperjuangkan polisi berkenaan, tetapi beliau sengaja mengambil publisiti politik seolah mengambil berat isu berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, gaji Mat Sabu patut dipotong kerana beliau gagal bertindak dengan segera untuk mengatasi pelbagai masalah yang timbul melibatkan bekalan makanan kepada rakyat.

“Pada hemat saya yang sepatutnya dilakukan adalah memotong gaji dan elaun menteri Mat Sabu kerana hanya sekadar menjadi ‘menteri hiasan’ yang sekadar berfungsi dalam keadaan ‘auto pilot’.

“Masalah baja subsidi pesawah di Kedah dan Perlis baru-baru ini yang melibatkan 38,000 penanam padi dengan keluasan 78,117 hektar sawah sehingga menjejaskan penghasilan padi adalah antara sebab gaji beliau patut dipotong. Beliau juga gagal bertindak segera dan berkesan bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan pada tahun lepas.

“Gaji yang dipotong dari Mat Sabu itu boleh digunakan untuk bantu keluarga petani yang susah,” katanya lagi.

Pada Rabu, Mohamad menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen bagi menyokong usaha berkenaan, namun tidak termasuk elaun berjumlah RM11,900.

Cadangan Mohamad itu bertujuan membantu membiayai organisasi masyarakat sivil (CSO) yang memperjuangkan mekanisme tahanan rumah bagi membolehkan banduan menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara sebelum dipindahkan ke tahanan rumah.

Beliau turut menegaskan bahawa prinsip keadilan perlu ditegakkan tanpa diskriminasi, keistimewaan terpilih atau layanan berbeza terhadap mana-mana banduan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO