Tak Tabur Janji Bulan Bintang, Manifesto BN Boleh Dilaksana – Zambry
MELAKA, 13 Nov – Barisan Nasional (BN) tidak mahu terjebak dengan budaya menabur janji bulan dan bintang semata-mata untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya mahu menawarkan manifesto realistik yang benar-benar mampu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pengalaman panjang parti itu dalam pentadbiran negara membolehkan BN memahami keperluan rakyat serta mengenal pasti agenda pembangunan yang boleh dilaksanakan.

Menurut beliau, BN bukan parti yang gemar bermain dengan retorik, maki hamun atau menjanjikan sesuatu di luar kemampuan hanya untuk mendapatkan sokongan pengundi.
“Kita tak mahu semata-mata nak menang pilihan raya maka tabur janji macam-macam. Kita parti yang sederhana. Kita bukan bercakap maki hamun kerana itu bukan cara kita. Kita bercakap tentang manifesto yang kita mahu laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam siri podcast Kita Geng Biru anjuran Penerangan UMNO Malaysia menerusi platform Facebook UMNO Online, malam tadi.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, antara perkara yang menjadi tumpuan BN ialah pembangunan, penyediaan perumahan, pengukuhan sektor pelancongan serta usaha meningkatkan peluang dan pendapatan peniaga kecil.
Katanya, manifesto bukan sekadar dokumen untuk meraih undi, sebaliknya merupakan komitmen yang perlu dipikul dan ditunaikan apabila sesebuah parti diberikan mandat untuk mentadbir.
“Ini bukan hanya janji bulan dan bintang kerana apabila menang bukan senang, janji itu perlu dilaksanakan. Kita pegang kepada apa yang kita boleh berikan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kestabilan politik dan keamanan negara kekal menjadi falsafah penting BN kerana ia membabitkan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
Katanya, pengalaman BN dalam mengendalikan pentadbiran negara menjadi kelebihan dalam memastikan kestabilan yang mampu melindungi kepentingan masyarakat Melayu, Cina, India dan semua kaum.

“Tugas sebagai pemimpin adalah menjaga kestabilan yang menjaga semua kaum. Itulah falsafah dalam BN,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya tidak mengambil mudah hari pengundian dan memastikan gerak kerja Get Out The Vote (GOTV) dilaksanakan dengan berkesan bagi membawa pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurutnya, BN mahu rakyat memilih parti yang mempunyai kemampuan dan pengalaman untuk mentadbir, bukan sekadar menawarkan janji yang belum tentu dapat ditunaikan.
Kempen PRN Melaka ke-16 yang berlangsung selama 14 hari akan berakhir tepat 11.59 malam ini, dengan esok adalah hari pengundian.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan sebanyak 675,166 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat untuk mengisi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
– UMNO Online
