Bukan Anthony Sahaja, Semua Menteri Dap Wajar Letak Jawatan – Azman Azeez
MELAKA, 13 Nov – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berpandangan, bahawa peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan tidak seharusnya dilihat sebagai satu tindakan yang memadai sekiranya beliau sendiri mendakwa keputusan itu dibuat atas prinsip dan pendirian politik Dap berhubung isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Tegasnya, jika Anthony Loke memilih untuk meletakkan jawatan kerana pendirian Dap, maka mencabar seluruh menteri dan timbalan menteri daripada Dap supaya turut berundur.
“Mengapa hanya Anthony Loke yang perlu berundur sedangkan keputusan tersebut merupakan pendirian parti. Jika benar Dap begitu tegas dengan pendirian mereka, maka seluruh barisan menteri dan timbalan menteri Dap dalam Kabinet juga perlu mengambil tanggungjawab yang sama.
“Jangan hanya seorang yang berundur, sedangkan yang lain terus menikmati kedudukan dan kuasa dalam kerajaan. Lebih penting, isu ini bukan sekadar soal suka atau tidak suka terhadap seorang individu.
“Ia menyentuh soal penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu, kedaulatan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip keluhuran undang-undang,” katanya.
Mengulas lanjut, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling menegaskan, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang keputusan berkaitan pelaksanaannya perlu dihormati dan ditangani melalui saluran undang-undang yang sah, bukannya dijadikan medan tekanan politik.
“Kita tidak boleh menerima sikap yang seolah-olah hanya menghormati institusi dan peruntukan Perlembagaan apabila keputusannya selari dengan kehendak politik sendiri.
“Prinsip tidak boleh dipilih-pilih. Perlembagaan tidak boleh dihormati secara bermusim. Institusi Raja bukan untuk dihormati hanya apabila keputusan memihak kepada kita,” katanya lagi.
Tambah beliau, jangan berselindung di sebalik alasan kestabilan kerajaan apabila prinsip yang dilaungkan sendiri tidak diterjemahkan melalui tindakan bersama.
“Kalau benar kerana prinsip, berundur bersama. Kalau hanya seorang yang berundur, rakyat berhak mempersoalkan sejauh mana keikhlasan prinsip yang diperjuangkan,” tegasnya lagi. – UMNO Online
