PRN Melaka: Siap Siaga Ancaman Serangan, Manipulasi Siber
MELAKA, 12 Nov – Barisan Nasional (BN) perlu memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman serangan siber, manipulasi maklumat dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi mempengaruhi persepsi pengundi, khususnya pada saat-saat akhir menjelang hari pengundian.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, perkembangan teknologi digital termasuk AI dan TikTok telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk serangan siber yang boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu, mencetuskan persepsi negatif serta melakukan pembunuhan karakter terhadap pemimpin dan parti politik.
Menurut beliau, BN tidak boleh mengambil pendekatan menunggu sehingga serangan berlaku, sebaliknya perlu mempunyai pasukan khusus yang mampu memantau, mengesan dan menangani ancaman digital secara pantas dan berkesan.

“Jangan kita tunggu diserang baru hendak bertindak. Kita mesti bersiap sedia sekarang kerana serangan melalui AI, TikTok dan media baharu boleh berlaku pada bila-bila masa, terutama sekali pada saat-saat terakhir sebelum pengundian.
“Kita perlu mengkaji segala kemungkinan, mengenal pasti kelemahan sendiri dan menyediakan langkah untuk menangani sebarang serangan siber, termasuk penyebaran kandungan palsu serta pembunuhan karakter,” katanya.
Beliau berpandangan BN perlu menggerakkan satu pasukan khas membabitkan golongan muda yang mempunyai kepakaran dalam AI, teknologi digital, keselamatan siber dan komunikasi strategik.
Katanya, pasukan berkenaan perlu dilatih untuk mengesan kandungan manipulatif, menyemak kesahihan maklumat, mengenal pasti video atau audio yang dimanipulasi serta menyediakan respons pantas berasaskan fakta.
“Kita perlu ada barisan anak muda yang benar-benar berilmu dalam bidang kecerdasan buatan dan teknologi digital. Mereka mesti mempunyai kemampuan untuk mengenal pasti apa yang sedang berlaku di alam siber dan bagaimana hendak menanganinya.
“Ini bukan perkara yang boleh ditangguhkan kerana masa semakin suntuk. Kita perlu mempunyai kesiapsiagaan dan keupayaan bertindak sebelum sesuatu serangan memberikan kesan kepada masyarakat,” katanya.
Abdul Aziz turut menekankan kepentingan mempunyai keupayaan pemantauan digital bagi mengenal pasti perkembangan naratif serta isu yang berlegar di media sosial, sekali gus membolehkan BN membuat persediaan berdasarkan maklumat yang sahih.
Menurutnya, tempoh akhir kempen merupakan fasa kritikal kerana penyebaran satu kandungan manipulatif atau maklumat tidak benar berpotensi mengganggu persepsi yang telah dibina sepanjang tempoh kempen.
“Hari-hari terakhir ini amat penting. Jangan sampai segala usaha yang kita lakukan selama 12 atau 13 hari terjejas hanya kerana kita tidak bersedia menghadapi serangan pada hari terakhir.
“Kita mesti mempunyai strategi, pasukan dan tindakan yang tersusun. Jangan hanya sibuk membalas serangan, tetapi pastikan kita mempunyai maklumat yang tepat dan mampu menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan mendekati pengundi juga perlu disesuaikan dengan perubahan landskap komunikasi, khususnya dalam kalangan anak muda yang banyak mendapatkan maklumat melalui platform digital.

Katanya, pendekatan secara bersemuka, sentuhan peribadi dan komunikasi berhemah tetap penting bagi memastikan hubungan dengan masyarakat tidak hanya bergantung kepada media sosial.
Beliau turut mengingatkan kepentingan menyusun gerak kerja membawa pulang anak-anak Melaka yang berada di luar negeri, khususnya di Kuala Lumpur, supaya mereka dapat merancang perjalanan lebih awal dan menunaikan tanggungjawab mengundi.
Abdul Aziz berkata, pilihan raya di Melaka juga membawa kepentingan tersendiri dalam kesinambungan perkembangan politik selepas Johor dan Negeri Sembilan.
Justeru, beliau menegaskan kesiapsiagaan menghadapi ancaman siber, penguasaan teknologi baharu dan gerak kerja bersama masyarakat perlu diberikan perhatian serius agar segala kemungkinan menjelang hari pengundian dapat ditangani secara terancang. – UMNO Online
