Serangan Dan Kritikan Perkara Biasa, Suasana Kempen PRN Tenang – Jazlan
MELAKA, 12 Nov – Perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung dalam suasana baik dan terkawal meskipun terdapat serangan serta kritikan antara parti politik yang bertanding.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata suasana kempen kali ini dilihat lebih tenang berbanding pilihan raya lima tahun lalu, dengan rata-rata pengundi dilihat sudah mempunyai pilihan masing-masing menjelang hari pengundian pada 14 November ini.
Katanya, berdasarkan pemerhatian sepanjang turun berkempen, beliau melihat sokongan masyarakat terhadap Barisan Nasional (BN) turut merangkumi pengundi yang sebelum ini tidak menyokong parti berkenaan.

“Sepanjang saya bergerak dan sama-sama berkemoen di sini, insya-Allah rakyat Melaka akan mengekalkan kerajaan Barisan Nasional. Tidak keterlaluan kalau saya sebut bukan sahaja 21 kerusi, kita berdoa kepada Allah SWT. Saya rasa Barisan Nasional boleh menang lebih 21 kerusi daripada pengamatan saya,” katanya.
Mengulas penerimaan masyarakat di kawasan Bemban, beliau berkata terdapat pengundi yang sebelum ini tidak menyokong BN, termasuk yang memilih Pakatan Harapan (PH), menyatakan hasrat untuk memberikan sokongan pada kali ini.
Menurutnya, perkara sama turut ditunjukkan dalam kalangan anak muda yang sebelum ini tidak menyokong BN tetapi kini menyatakan kecenderungan untuk memberikan sokongan kepada parti itu. – UMNO Online
