KPK Komited Terus Perkukuh Ekosistem Keusahawanan Agrikomoditi

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) komited untuk terus memperkukuh ekosistem keusahawanan agrikomoditi melalui penerapan inovasi, pembangunan produk, pengukuhan penjenamaan dan peluasan akses pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah hadir untuk merasmikan Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 pada Isnin.

“Saya hadir bagi merasmikan Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 yang berlangsung di Mahkota Parade, Melaka.

“Bertemakan ‘Rasa, Kenali & Cipta Memori’, festival ini merupakan satu inisiatif yang cukup bermakna dalam memperkenalkan kepelbagaian produk berasaskan agrikomoditi tempatan kepada masyarakat, di samping membuka ruang dan peluang lebih luas kepada para usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Dalam ucapan saya, saya menegaskan komitmen KPK untuk terus memperkukuh ekosistem keusahawanan agrikomoditi melalui penerapan inovasi, pembangunan produk, pengukuhan penjenamaan dan peluasan akses pasaran, bukan sahaja di peringkat domestik malah antarabangsa.

“Tahniah kepada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) selaku penyelaras festival dan semua agensi, usahawan serta pihak yang menjayakan penganjuran ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia turut berharap agar festival tersebut menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang kerjasama, inovasi dan kejayaan usahawan tempatan.

“Turut bersama ialah Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Wanita dalam Perdagangan dan Industri merangkap Pengerusi HAWA Malaysia.

“Semoga festival ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang kerjasama, inovasi dan kejayaan usahawan tempatan dalam mengangkat produk agrikomoditi Malaysia ke persada dunia,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO