Gelombang Biru Bermula Dari Johor, Kini Melanda Melaka – Mohamad Hasan

LENDU, 9 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan gelombang biru adalah kebangkitan Barisan Nasional (BN) yang bermula di Johor kini terus dibawa ke Negeri Sembilan sebelum meneruskan rentaknya ke Melaka dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, rentak gelombang biru berkenaan bukan bermula di Negeri Sembilan, sebaliknya telah tercetus sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Julai lalu sebelum merebak ke negeri-negeri lain.

Menurutnya, gelombang berkenaan kini dapat dirasai di Melaka apabila semangat dan sokongan terhadap BN semakin ketara sepanjang kempen berlangsung.

“Rentak pilihan raya ini bukannya bermula dari Negeri Sembilan, tetapi sudah bermula sejak Johor lagi. Pilihan raya Negeri Johor yang diadakan pada bulan Julai lalu membawa rentak dan gelombang yang amat kuat ke Negeri Sembilan.

“Daripada Negeri Sembilan, rentak itu kini berada di Melaka kerana gelombang biru ini akan terus berterusan. Kita dapat melihat sendiri betapa kuatnya semangat gelombang biru ini, khususnya di Melaka.

“Kita berharap gelombang biru akan terus bergerak supaya kita dapat memastikan Melaka kekal di bawah pentadbiran kerajaan BN, dengan kerjasama dan persefahaman bersama Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Luar Negeri, melahirkan rasa syukur apabila maklum balas yang diterima sepanjang kempen PRN Melaka menunjukkan perkembangan positif dengan suasana kempen yang amat baik.

“Alhamdulillah… maklum balas yang saya terima dan suasana yang dapat dilihat amat baik. Namun, saya ingin mengingatkan petugas-petugas parti BN dan PN supaya meneruskan gerak kerja bertemu semua pengundi, jika boleh sehingga ke hari mengundi.

“Perkara paling penting ialah kita sudah berjumpa dan menyantuni seramai mungkin, malah seboleh-bolehnya hampir keseluruhan pengundi bagi memastikan mereka keluar mengundi seawal mungkin,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Rembau itu mengingatkan jentera pilihan raya supaya membuat persiapan rapi dari segi penyelarasan kenderaan dan pengangkutan bagi memastikan pengundi dapat dibawa ke pusat mengundi tanpa sebarang masalah.

“Kita mahu menjelang jam 12 tengah hari, lebih 60 peratus pengundi sudah keluar mengundi. Selepas itu, kita boleh mengenal pasti siapa yang masih belum keluar dan mengatur usaha untuk menjemput serta membawa mereka ke pusat mengundi masing-masing.

“Kejayaan pada hari pengundian bukan sahaja bergantung kepada kempen sepanjang tempoh pilihan raya, tetapi turut ditentukan oleh keupayaan jentera memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO