Lawatan Ke Türkiye Buka Peluang Kerjasama Baharu – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Türkiye membuka ruang kerjasama baharu antara Malaysia dan negara itu dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, pendidikan, teknologi dan industri halal.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, lawatan kerja pada 5 hingga 8 November 2026 itu turut memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 17 Jun 1964, selain meneruskan momentum Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang dimeterai pada 2022.

Menurutnya, pertemuan dengan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan menjadi antara agenda utama lawatan berkenaan, dengan kedua-dua pihak membincangkan usaha meningkatkan nilai perdagangan dua hala daripada AS$5.51 bilion pada 2025 kepada AS$10 bilion menjelang 2030.

“Pertemuan ini memberikan ruang untuk kami membincangkan hala tuju hubungan dua hala, termasuk sasaran meningkatkan perdagangan serta memperluas kerjasama dalam pelaburan, pertahanan, pemindahan teknologi, TVET, halal dan pengurusan bencana,” katanya dalam kenyataan media selepas menamatkan lawatan kerja berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, peluang kerjasama baharu turut dikenal pasti dalam sektor makanan dan minuman, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), elektrik dan elektronik (E&E) serta pertahanan.

Kerjasama itu juga berpotensi diperluas kepada pembangunan wilayah dan bandar mampan, keusahawanan serta pemerkasaan ekonomi masyarakat luar bandar.

Dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), Ahmad Zahid berkata, kedua-dua negara sedang meneroka kerjasama lebih strategik merangkumi program Doktor Falsafah (PhD) bersama, teknologi kuantum dan semikonduktor, selain program ijazah berkembar, pemindahan kredit serta penempatan tenaga akademik Türkiye di institusi MARA.

Katanya, seramai 17 pelajar tajaan MARA telah ditempatkan di Sabancı University, manakala kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan Sabancı University dan Yıldız Technical University membuka peluang dalam bidang bahan termaju, sains digital, tenaga, teknologi kitar semula, reka bentuk kapal dan kejuruteraan marin.

Sementara itu, dalam sektor pertahanan, kedua-dua negara komited memperkukuh hubungan industri serta merealisasikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan.

“Nilai perolehan ketenteraan Malaysia dari Türkiye sejak tahun 2000 dianggarkan berjumlah AS$3.4 bilion.
“Ke hadapan, tumpuan perlu diberikan kepada pemindahan teknologi, latihan kepakaran dan pembangunan industri tempatan supaya kerjasama ini turut menyumbang kepada peningkatan keupayaan industri pertahanan negara,” katanya.

Dalam sektor halal pula, Malaysia dan Türkiye mengenal pasti peluang memperkukuh ekosistem industri halal global, termasuk menerusi platform D-8 yang berpotensi mengembangkan kerjasama dalam kewangan Islam, farmaseutikal dan vaksin.

Ahmad Zahid turut menyertai panel bertajuk Türkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor pada 10th Edition of the TRT World Forum di Istanbul, sekali gus memberi ruang kepada Malaysia menyampaikan perspektifnya di pentas antarabangsa dan memperluas jaringan dengan pemimpin serta pembuat dasar dunia.

Beliau berkata, Malaysia juga akan meneruskan peranannya sebagai negara penyelaras hubungan ASEAN–Türkiye bagi memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua rantau.

“Saya yakin momentum positif daripada lawatan ini akan terus memperkukuh hubungan Malaysia–Türkiye dan membuka lebih banyak peluang baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Dengan asas hubungan yang kukuh serta komitmen bersama yang jelas, Malaysia dan Türkiye mempunyai potensi besar untuk melangkah lebih jauh dalam membina pelaburan, kepakaran, teknologi, bakat dan keupayaan industri demi kemakmuran bersama,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO