Parti Amanah Cermin Diri Dulu, Jangan Guna Dua Neraca

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah membidas pihak yang mempertikaikan kerjasama politik UMNO dan Barisan Nasional (BN), sambil mengingatkan Parti Amanah Negara (AMANAH) supaya tidak menggunakan dua neraca dalam menilai pendirian politik parti lain.

Beliau menegaskan, kerjasama politik tidak boleh sewenang-wenangnya disamakan dengan kehilangan maruah atau harga diri kerana politik menuntut kematangan, prinsip serta kebijaksanaan membuat keputusan berdasarkan realiti semasa.

“Jangan terlalu mudah menuduh orang tiada harga diri. Dalam politik, kerjasama bukan bermakna hilang maruah. Politik ialah soal prinsip, kepentingan rakyat dan kestabilan negara,” katanya.

Shamsul Anuar turut mempersoalkan mengapa kerjasama UMNO dengan pihak lain dilabel sebagai ‘makan keliling’, sedangkan kompromi politik yang dilakukan pihak lain pula dianggap sebagai tindakan berprinsip.

“Kenapa kalau UMNO bekerjasama dengan pihak lain dikatakan makan keliling? Bagaimana pula dengan AMANAH? Adakah kerjasama politik yang menguntungkan pihak sendiri dianggap berprinsip, tetapi apabila pihak lain melakukannya dianggap tiada maruah?” soalnya.

Beliau menegaskan UMNO dan BN merupakan parti yang bebas serta merdeka dalam menentukan hala tuju politik sendiri, tanpa perlu tunduk kepada label atau tekanan pihak lain.

Malah, katanya, UMNO dan BN lebih memilih kerjasama politik yang membawa manfaat kepada rakyat berbanding bersekutu dengan pihak yang hanya sibuk menyemarakkan kebencian dan mendakwa diri sendiri paling suci.

“Lebih baik UMNO BN bekerjasama demi kepentingan rakyat daripada bersama parti yang sibuk menjaja kebencian dan merasakan dirinya sahaja paling suci,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan AMANAH supaya bermuhasabah dan melihat pendirian politik sendiri sebelum terlalu mudah menuding jari kepada pihak lain.

Shamsul Anuar turut menjelaskan bahawa penyertaan UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan Nasional adalah berasaskan penghormatan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, bukannya kerana parti itu kehilangan prinsip atau maruah
politik.

Bagaimanapun, beliau memberikan penegasan bahawa pendirian tersebut mempunyai batas tempoh yang jelas.

“AMANAH perlu ingat, UMNO BN menjunjung titah Tuanku Agong. Kerana itu UMNO BN berada dalam Kerajaan Perpaduan Nasional ini. Hanya sehingga habis penggal ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO