Pengundi Melaka Tahu Menilai Prestasi Pentadbiran Ab Rauf
PANTAI PUTERI, 6 Nov – Prestasi pentadbiran dan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sepanjang tiga tahun lalu boleh dinilai sendiri oleh rakyat Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengundi di Melaka berpeluang menilai pencapaian serta cara Ab Rauf mengendalikan pentadbiran negeri bersama wakil rakyat Barisan Nasional sepanjang tempoh berkenaan.
“Saya fikir lima bulan dulu rakyat Melaka sudah buat keputusan. Orang Melaka sebenarnya sudah tahu apa mereka nak buat (mengundi).
“Perkara ini ada kaitan dengan rentetan apa yang terjadi dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan dahulu sampai sekarang,” katanya kepada media pada program bertemu pengundi dan peniaga bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi, di Pantai Puteri, di sini, semalam.

Turut hadir, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab Rahaman Ab Karim dan Datuk Nor Azman Hassan.
Pengundi Melaka sendiri katanya, lebih mengetahui gerak kerja dan usaha yang sudah dilaksanakan Ketua Menteri untuk negeri itu dan berhak memberikan penilaian terhadap prestasi barisan kepimpinannya.
Malah, menurut Mahdzir, perkembangan politik sejak tujuh hingga lapan bulan lalu turut menjadi antara faktor yang mempengaruhi keputusan rakyat, selain percaya sebahagian besar pengundi sudah mempunyai pilihan masing-masing sejak lima bulan lalu.
Mahzdir yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, kemudahan mendapatkan maklumat menerusi media sosial membolehkan rakyat mengikuti perkembangan politik semasa dan membuat penilaian sendiri.
Mengulas seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat memberikan mandat kepada kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan, Mahdzir berkata, keputusan tetap terletak di tangan pengundi, seperti yang berlaku di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
BN katanya turut mengharapkan sokongan pengundi terhadap gabungan itu serta rakan strategiknya, Perikatan Nasional (PN), pada PRN kali ini.
“Di Melaka ini, semua sudah tahu bahawa BN memilih PN sebagai rakan strategik. Sudah pastinya kita merayu kepada masyarakat untuk memberikan undi kepada BN dan juga PN.
“Kita juga merayu kepada ahli dan penyokong PN untuk memberikan undi kepada BN,” katanya lagi. – UMNO Online
