‘Kerjasama BN-PN Demi Matlamat Lebih Besar’
HANG TUAH JAYA, 2 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rozi Mamat berpandangan kerjasama politik perlu dilihat berdasarkan matlamat lebih besar, khususnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu berkata, parti perlu bersikap terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak lain bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil pada masa hadapan.
“Bila menghadapi pilihan raya matlamat yang lebih besar adalah hendak kembali menguasai kerajaan dan juga untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang… kena mula dari sekarang.
“Kita mesti kena ada kerjasama dengan parti lain untuk menjadi kerajaan yang kuat dan kukuh pada masa yang akan datang.
“Dan kita melihat parti Barisan Nasional (BN) dan juga Perikatan Nasional (PN) adalah lebih sesuai untuk pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Rozi berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas majlis perjumpaan bersama pemimpin masyarakat di Bilik Gerakan Kampung Bachang, semalam.
Katanya lagi, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan Melaka terus ditadbir melalui gabungan BN dan PN.
Menurutnya, hubungan antara kedua-dua parti semakin menunjukkan perkembangan positif, termasuk komitmen kepimpinan PAS di peringkat kawasan untuk bersama-sama menjayakan kempen.

“Saya sendiri bersama kepimpinan PAS dan berkempen di markas PAS kawasan Pengkalan Batu. Saya melihat kerjasama serta kesungguhan mereka untuk bekerjasama begitu erat dan kuat, insya-Allah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat agar tidak berasa was-was atau janggal dengan kerjasama berkenaan, sebaliknya melihatnya sebagai usaha untuk mencapai matlamat lebih besar.
“Kena berjiwa besar demi kepentingan untuk masa depan, demi kepentingan agama, bangsa dan negara, kita terpaksa bergerak… buang halangan-halangan yang kecil-kecil untuk mendapat satu benda yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
