Ahmad Norazril Optimis Sokongan Pengundi Rembia
ALOR GAJAH, 2 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz melihat perkembangan positif dari segi penerimaan rakyat terhadap BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Alor Gajah berkata, ia dapat dilihat menerusi maklum balas pengundi sepanjang tempoh kempen.
“Penerimaan rakyat pada ketika ini saya lihat sangat positif, ke arah menyokong melalui BN dan gabungan strategik, kita melihat sokongan, komitmen jentera serta respon pengundi menunjukkan perkembangan yang begitu positif.
“Saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang baik dan insya-Allah, pada 14 November nanti Rembia kekal menjadi milik BN,” katanya.
Ahmad Norazril berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan pertemuan bersama veteran UMNO semalam.
Mengulas lanjut mengenai pencalonannya, beliau berkata pemilihan itu bukan sekadar peluang untuk bertanding, sebaliknya satu tanggungjawab besar dalam membawa aspirasi parti dan masyarakat Rembia.
Menurut beliau, BN memperlihatkan peluang yang diberikan kepada muka baharu yang merupakan sebahagian daripada proses pembaharuan kepimpinan BN.
“Sememangnya, BN dari zaman ke zaman melalui proses silih berganti kepimpinan. Pemimpin datang dan pergi, namun parti tetap menjadi keutamaan.
“Bagi saya, kepentingan utama adalah parti kerana diri saya hanyalah individu yang mewakili parti. Kekuatan sebenar saya adalah BN itu sendiri.
“Apabila kita mempunyai ramai pemimpin dan potensi, kita juga sentiasa mempunyai ruang untuk memberi peluang kepada pemimpin baharu, khususnya muka-muka baharu.
“Saya melihat ini sebagai peluang kepada golongan anak muda dan pengundi baharu untuk memberikan pilihan kepada BN,” ujar beliau.
Untuk rekod penyandang, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang bertanding atas tiket BN pada PRN 2021 memenangi kerusi tersebut selepas meraih 4,224 undi dengan majoriti 860 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
