Azman Komited Teruskan Perancangan Pembangunan Serkam

JASIN, 2 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah komited untuk meneruskan perancangan pembangunan terdahulu serta memberi perhatian kepada keperluan dan permasalahan rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau berkata, antara perkara yang sering dibangkitkan penduduk sepanjang kempen ialah keperluan menaik taraf jalan termasuk infrastruktur lain yang belum diselesaikan di sesetengah kawasan.

Menurutnya, segala aduan dan permintaan rakyat akan diambil perhatian bagi membolehkan tindakan susulan serta permohonan peruntukan dibuat mengikut keperluan dan kemampuan yang ada.

“Dalam keadaan sekarang ini, apabila turun berkempen, saya minta rakan-rakan dan jentera saya mengambil perhatian terhadap masalah sebenar rakyat.

“Ada juga masalah yang kita sudah tahu, contohnya permintaan untuk jalan dan longkang yang tidak dapat diselesaikan. Mungkin peruntukan kita terhad, tetapi insya-Allah jika diberi kepercayaan, saya akan cuba membantu sebaiknya,” katanya.

Azman berkata, beliau juga akan meneliti perancangan yang telah dirangka oleh wakil rakyat terdahulu, khususnya inisiatif yang mendapat sambutan baik dan memenuhi keperluan masyarakat setempat, supaya kesinambungannya dapat dipastikan.

Menurutnya, keutamaan bukan sekadar menyelesaikan masalah kecil yang dibangkitkan penduduk, tetapi memastikan perancangan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dapat diteruskan.

“Saya tidak mahu berjanji  bulan bintang tetapi insya-Allah, jika diberi kepercayaan, saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat Serkam.

“Rakyat Serkam amat istimewa bagi saya. Sebelum diumumkan sebagai calon lagi, saya sudah menyatakan bahawa jika diberi peluang, biarlah saya bertanding di DUN sendiri kerana jiwa saya di Serkam,” katanya.

Beliau turut menegaskan kesediaannya untuk memikul amanah yang diberikan pengundi dengan penuh tanggungjawab, selain memastikan kebajikan dan kepentingan masyarakat Serkam terus menjadi keutamaan.-UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO