Acik Zul Utamakan Rekod Perkhidmatan, Bukan Janji Bulan Dan Bintang

TABOH NANING, 2 Nov – Penerimaan positif masyarakat terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin menjadi suntikan semangat untuk terus memperkukuh gerak kerja kempen bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Zulkiflee yang lebih dikenali sebagai ‘Acik Zul’ berkata, keyakinan itu bersandarkan hubungan erat yang telah dibina bersama masyarakat menerusi pendekatan turun padang secara konsisten tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.

“Alhamdulillah… saya mendapat penerimaan yang begitu baik di DUN Taboh Naning, dan selalu turun padang untuk masyarakat di sini kerana tidak pernah membezakan individu itu dari parti mana dan saya melayani dengan seadil yang boleh.

“Kita jangan merasa selesa walaupun calon yang bertanding di sini adalah calon dari luar. Kita pastikan kemenangan dengan lebih tiga ribu majoriti di DUN ini.

“Jentera BN sentiasa bergerak dan memastikan setiap organisasi-organisasi yang berada dikawasan ini akan terus bersama dengan BN,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Zulkiflee menegaskan beliau tidak berminat menjanjikan sesuatu yang bersifat bulan dan bintang semata-mata untuk meraih sokongan, sebaliknya mahu rakyat menilai rekod usaha serta pencapaian yang telah dilaksanakan demi kepentingan penduduk Taboh Naning.

“Antara perkara yang diberi perhatian termasuk pembesaran Tol Simpang Ampat serta usaha memperkukuh kemudahan pendidikan merangkumi institusi pengajian tinggi, sekolah menengah dan sekolah rendah.

“Peruntukan RM11 juta itu telah diluluskan untuk pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Naning dan pelaksanaannya akan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Inilah antara usaha yang saya lakukan untuk memastikan pembangunan dan kemudahan di kawasan ini terus dipertingkatkan, bukannya sekadar membuat janji ketika pilihan raya,” katanya lagi.

Beliau berkata, tanggungjawab sebagai pemimpin di peringkat negeri turut dimanfaatkan untuk membawa suara dan permasalahan rakyat Taboh Naning kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bagi memastikan isu berbangkit mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya.

“Usaha berterusan itu termasuk membantu mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan supaya keperluan pembangunan kawasan dapat direalisasikan,” ujarnya.

Tegasnya, pendekatan berteraskan khidmat, rekod pencapaian dan usaha menyelesaikan masalah rakyat akan terus menjadi asas perjuangannya, sekali gus membuktikan bahawa kepercayaan pengundi perlu dibalas dengan kerja serta hasil yang nyata. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO