PRN Melaka 2026: Bertanding Dengan Bermaruah, Berkempen Dengan Berhemah

MELAKA, 31 Okt -Semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 diseru supaya berkempen secara adil, matang dan bermaruah dengan mengutamakan persaingan idea, dasar serta tawaran khidmat kepada rakyat, bukannya mencetuskan permusuhan dan perpecahan.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua 79 calon yang mengemukakan kertas penamaan bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka wajar diberikan penghormatan atas kesediaan menawarkan khidmat kepada rakyat tanpa mengira parti dan perbezaan pendirian politik.

Beliau berkata, sebanyak 23 calon Barisan Nasional (BN) terdiri daripada 18 calon UMNO, empat calon MCA dan seorang calon MIC, selain lima calon rakan kerjasama daripada Perikatan Nasional (PN).

“Kesediaan untuk tampil menawarkan khidmat kepada rakyat merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang wajar dihormati, tanpa mengira parti atau perbezaan pendirian politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kelancaran proses penamaan calon, yang menyaksikan tiada kertas penamaan ditolak dan kesemua 28 kerusi menyaksikan pertandingan.

Menurutnya, suasana aman dan terkawal sepanjang proses berkenaan menjadi permulaan baik bagi tempoh berkempen selama 14 hari.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua calon, jentera dan penyokong parti supaya mematuhi undang-undang pilihan raya serta peraturan SPR, selain mengelakkan provokasi yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R).

“Pilihan raya seharusnya menjadi medan persaingan idea, dasar dan tawaran khidmat, bukannya ruang untuk mencetuskan permusuhan serta perpecahan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina memberi penekanan terhadap pengukuhan kempen komunikasi digital dan media sosial dalam kalangan Jentera Penerangan UMNO di semua peringkat, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri.

Katanya, pendekatan komunikasi perlu lebih dinamik, kreatif dan dekat dengan pengundi muda memandangkan 43.6 peratus pengundi Melaka berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih dalam ekosistem digital, termasuk penggunaan akaun automatik atau bot, dakwaan sekatan capaian atau shadow ban serta penurunan kandungan oleh platform digital.

“Sebarang dakwaan sedemikian perlu dinilai berdasarkan bukti dan maklumat yang sahih. Jangan mudah terpengaruh dengan jumlah tanda suka, komen atau perkongsian yang luar biasa. Semak sumber, teliti fakta dan fikir sebelum berkongsi,” katanya.

Azalina berkata, orang ramai yang mengesan kandungan disyaki mengandungi berita palsu, fitnah, penyamaran identiti atau pelanggaran sensitiviti 3R disaran membuat aduan melalui saluran rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Kesalahan pilihan raya pula boleh dilaporkan kepada SPR, PDRM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut bidang kuasa masing-masing.

Menegaskan pendirian BN, beliau berkata kempen parti itu akan terus berteraskan calon, rekod perkhidmatan, manifesto dan tawaran penyelesaian kepada rakyat, tanpa terlibat dalam kempen hitam atau black PR.

“Barisan Nasional tidak akan terlibat dalam kempen hitam atau black PR. Kita mahu mendapatkan mandat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan dengan menjatuhkan pihak lain. Rakyat Melaka berhak membuat pilihan berdasarkan fakta, bukan fitnah atau sentimen kebencian,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh Jentera Penerangan UMNO supaya membantu memperluas capaian mesej dan kandungan rasmi calon BN melalui interaksi tulen serta organik di media sosial, termasuk mengikuti akaun rasmi calon, memberikan tanda suka, meninggalkan komen membina dan berkongsi kandungan.

Pada masa sama, beliau menegaskan setiap komunikasi perlu menggunakan akaun sebenar serta bahasa yang sopan dan berfakta tanpa serangan peribadi yang boleh mencemarkan imej parti.

Azalina juga menyeru rakyat Melaka supaya menilai setiap calon dan tawaran secara rasional, matang serta berasaskan fakta, selain menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 14 November 2026. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO