Gelombang Biru BN-PN Warnai Melaka, Muafakat Terus Diperkukuh

MELAKA, 31 Okt – Gelombang biru kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terus mewarnai suasana penamaan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Melaka, sekali gus mencerminkan kesinambungan semangat muafakat yang sebelum ini terjalin di Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama BN-PN itu berteraskan permuafakatan dan keikhlasan dalam usaha membawa kesejahteraan kepada rakyat, khususnya di negeri Melaka.

Menurutnya, semangat kerjasama berkenaan perlu terus diperkukuh menerusi kepercayaan dan kesediaan kedua-dua pihak untuk bergandingan demi kepentingan ummah serta masa depan negara.

“Kerjasama BN-PN ini perlu terus diperkukuh melalui semangat saling percaya dan bergandingan bagi merealisasikan hasrat rakyat yang mahu melihat dua parti terbesar Melayu Islam ini bekerjasama demi kepentingan ummah dan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata, Muafakat Melaka diharap terus membawa manfaat kepada seluruh rakyat, selain menjadi asas kepada usaha membina negeri yang lebih makmur dan sejahtera.

Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi turut berkesempatan mengiringi calon BN bagi DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, selain bertemu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, di pusat penamaan calon DUN Bukit Katil.

Beliau menyifatkan gelombang biru BN-PN yang mewarnai bumi Melaka sebagai manifestasi kesinambungan kerjasama politik yang perlu dipelihara dan diperkukuh.

“Semoga kerjasama ini terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat, kemakmuran negeri Melaka dan masa depan negara,” katanya.

SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO