Along Hadapi Saingan Dua Penjuru Di Asahan

ALOR GAJAH, 31 Okt – Datuk Dr Fairul Nizam Roslan sah dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH) dalam pertandingan dua penjuru.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azam Zalil di Pusat Penamaan Calon, Kolej Teknologi Jabatan Tenaga Manusia Kampus Selandar, selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN berkenaan hari ini.

“Dengan ini dimaklumkan bahawa saya telah menerima kertas penamaan calon daripada dua orang calon bagi pemilihan ke Dewan Undangan Negeri bagi bahagian pilihan raya DUN Asahan.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan mereka dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaannya,” katanya ketika mengumumkan calon yang layak bertanding,” katanya.

Untuk rekod, Dr Fairul yang lebih dikenali sebagai Along pada PRN lalu memenangi 5,659 undi dengan majoriti 2,993 dalam saingan enam penjuru.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO