“Mana Lagi… Melaka Ler” Dan “Kita Geng Biru” Gegarkan Tanjung Bidara

TANJUNG BIDARA, 31 Okt – Laungan “Mana Lagi… Melaka Lerr” dan “Kita Geng Biru” bergema penuh bertenaga, membakar suasana sepanjang perjalanan menuju pusat penamaan calon di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, JAPERUN Tanjung Bidara, sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sorakan bersemangat itu mengiringi perjalanan menuju pusat penamaan calon, menyaksikan penyokong Barisan Nasional (BN) hadir dengan penuh keterujaan, membawa semangat kebersamaan serta kesungguhan dalam mengiringi calon yang bakal bertanding.

Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai perarakan itu bersama Pengerusi BN Negeri Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara untuk proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Tinjauan UMNO Online mendapati ‘gelombang biru’ yang memenuhi setiap sudut Tanjung Bidara turut menjadi isyarat jelas bahawa jentera BN kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, dengan semangat yang semakin utuh untuk membawa parti mencapai kemenangan.

Kehadiran pemimpin utama parti bersama ribuan penyokong itu bukan sekadar menyemarakkan suasana hari penamaan calon, malah memperlihatkan kesepaduan jentera BN dalam menggerakkan misi mempertahankan mandat rakyat di negeri bersejarah itu.

Semangat yang ditampilkan jelas membayangkan tekad BN untuk terus memperkukuh sokongan akar umbi, selain memastikan setiap gerak kerja kempen dilaksanakan dengan tersusun, terselaras dan berfokus kepada usaha mendekati pengundi.

Bagi Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka dan penyandang kerusi DUN Tanjung Bidara, penamaan calon itu menjadi permulaan kepada satu lagi perjuangan politik untuk mendapatkan kepercayaan rakyat meneruskan agenda pembangunan serta kestabilan negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala undi awal pada 10 Nov.

PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) (dua kerusi). – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO