PRN Melaka: Solidariti UMNO Sabah Bersama Pertahan Kemenangan BN
MELAKA, 30 Okt – Jarak beribu batu dari Negeri di Bawah Bayu tidak menjadi penghalang buat barisan kepimpinan UMNO Sabah untuk turun padang bersama-sama berkampung dan menyemarakkan lagi jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu merangkap Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Musliati Moslimin, kehadiran dalam pasukan jentera BN jelas membuktikan solidariti tanpa berbelah bahagi serta perpaduan kukuh sesama ahli keluarga besar UMNO dari seluruh negara.

“Perjuangan UMNO tidak pernah mengenal batasan geografi. Walau jauh dari Sabah, kami datang membawa semangat perjuangan dan solidariti jitu untuk bersama-sama jentera tempatan bagi memastikan kemenangan BN di PRN Melaka,” katanya.
Terdahulu beliau bersama dengan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat hadir menghangatkan suasana Program Bersama Calon DUN Telok Mas yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, di sini, malam tadi.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh semangat kekeluargaan itu diadakan di Bilik Gerakan Cawangan Baruh Alai, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Alai.
Ujar Musliati, kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi sokongan moral, sebaliknya bertekad galas tanggungjawab menyumbang tenaga demi memastikan panji BN berkibar megah di DUN Telok Mas dan kemudian menyumbang kemenangan untuk Negeri Melaka pada hari pembuangan undi kelak.
“Kami sedia melangkah ke setiap lorong dan menyapa setiap pengundi. Apabila parti memanggil untuk berkhidmat, tiada istilah penat atau jauh. Kita mahu rakyat Melaka kembali menikmati kestabilan dan kemakmuran di bawah pentadbiran Barisan Nasional,” tegas beliau lagi.
PRN Melaka diadakan selepas pembubaran di 23 September lalu diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-16 manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon.
DUN Melaka babit 28 kerusi yang PRN lalu menyaksikan 21 kerusi milik BN, PH menang lima kerusi dan PN dengan dua kerusi.
PRN Melaka merupakan PRN ketiga diadakan tahun ini selepas PRN Johor pada 11 Julai disusuli Negeri Sembilan 1 Ogos. – UMNO Online
