Santuni Rakyat Dengan Hati, Berbakti Dengan Ikhlas – Tuminah Kadi

PANTAI KUNDOR, 30 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi menzahirkan komitmen untuk terus mendekati masyarakat menerusi pendekatan kebajikan dan ziarah secara langsung bagi memahami keperluan serta kesulitan yang dihadapi penduduk setempat.

Menurutnya, program Ziarah Kasih bersama Wanita DUN Pantai Kundor bukan sekadar kunjungan biasa, sebaliknya menjadi platform untuk bertanya khabar, mendengar keluh kesah masyarakat serta menyampaikan sokongan dan keprihatinan kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, setiap kunjungan membawa makna tersendiri kerana hubungan yang erat dengan masyarakat dapat dibina melalui kehadiran, perhatian dan kesediaan untuk mendengar permasalahan mereka.

“Alhamdulillah…  meneruskan usaha menyantuni masyarakat melalui program Ziarah Kasih bersama Wanita DUN Pantai Kundor. Program ini menjadi wadah untuk mendekati masyarakat, bertanya khabar, mendengar keluh kesah serta menyampaikan sokongan dan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan.

“Setiap kunjungan membawa makna yang besar. Kehadiran kita bukan sekadar bertanya khabar, tetapi juga untuk berkongsi rasa, menyemai kasih sayang dan mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat.

“Terima kasih kepada seluruh Wanita DUN Pantai Kundor yang sentiasa komited, berganding bahu dan bersama-sama menjayakan usaha murni ini,” katanya.

Tuminah yang juga penyandang DUN Pantai Kundor menjelaskan, semangat kebersamaan dan keikhlasan dalam berkhidmat perlu terus dipupuk agar usaha membantu masyarakat dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Kita santuni dengan hati, kita berbakti dengan ikhlas,” jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan 31 Oktober pada manakala tarikh mengundi awal pada 10 November.

Tempoh berkempen pula adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 13 November.

Pada 22 September lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 21 dimenangi BN pada PRN lalu, manakala lima dimenangi PH dan dua Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO