PRN Melaka: BN Yakin Tiada Pertembungan Calon Dengan Pas
ALOR GAJAH, 29 Okt – Barisan Nasional (BN) yakin tidak akan berlaku pertembungan kerusi dengan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan kesepakatan yang dicapai oleh kedua-dua pihak.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata keputusan menjadikan PAS sebagai rakan strategik BN telah dimuktamadkan dalam mesyuarat peringkat tertinggi semalam yang turut memutuskan kedua-dua pihak akan melancarkan manifesto bersama.
“Semalam kita adakan mesyuarat di peringkat tertinggi dan telah memutuskan rakan strategik kita ialah PAS. Kita juga bersepakat supaya semua gerak kerja berjalan bersama dan berkongsi manifesto.
“Jadi saya rasa tidak mungkin kita akan bertembung (calon), kerana situasi di Melaka tidak sama dengan di Johor dan Negeri Sembilan. Di Melaka kita ibarat bernikah dan berkadi, kalau bercerai pun ada talak,” katanya.

Beliau berkata bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali 2026 bagi Parlimen Masjid Tanah di Dewan Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri Lendu, di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov ini sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal 10 Nov.
Sebanyak 687,697 pemilih layak mengundi pada pilihan raya negeri itu.
Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama menerusi pelbagai inisiatif kebajikan.
Beliau berkata sebanyak RM90.55 juta bantuan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Kebajikan telah disalurkan kepada lebih 42,500 penerima di seluruh negeri bagi tempoh 2021 hingga September tahun ini.
Bagi sambutan Deepavali tahun ini, katanya sumbangan berjumlah RM200,000 disalurkan kepada 1,000 penerima di seluruh Melaka, dengan RM36,000 daripadanya disumbangkan kepada 180 penerima di Parlimen Masjid Tanah.
“Bantuan ini bukan ‘gula-gula’ kerana hendak pilihan raya. Apa yang kita beri hari ini kebetulan sambutan Deepavali jatuh dalam tempoh kempen. Kalau tidak jatuh (waktu kempen) pun, kita tetap beri juga kerana ini adalah dasar Melaka Sayang Rakyat,” katanya.
Rauf berkata kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan lebih RM3 juta kepada komuniti India dan Cina menerusi pelbagai bentuk bantuan, termasuk sumbangan perayaan serta bantuan kepada rumah ibadat. – Bernama
