Lima Kolej Kediaman Baharu Bakal Dibangunkan Di Universiti Awam

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merancang pembangunan lebih banyak kolej kediaman pelajar sebagai langkah jangka masa panjang, khususnya bagi memastikan kemudahan penginapan yang selesa dan kondusif dapat disediakan kepada pelajar, termasuk golongan B40.

Selaras dengan perkara ini, Dr Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata kerajaan telah memperuntukkan sejak tahun 2021 hingga 2025 iaitu sebanyak RM1.1 bilion bagi tujuan penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Dalam tempoh yang sama, KPT turut memperuntukkan hampir RM225 juta untuk kerja-kerja penaiktarafan dan membaik pulih asrama sedia ada melalui peruntukan pembangunan. Dalam tempoh yang sama, terdapat 15 projek pembinaan kolej kediaman telah disiapkan melalui kaedah kerjasama awam-swasta (PPP) dengan kapasiti keseluruhan melibatkan 45,000 orang pelajar.

“Jadi kerajaan berhasrat untuk membangunkan lima buah kolej kediaman baru di Universiti Awam melalui kaedah yang sama yang dijangka akan menyediakan kapasiti penginapan sehingga 21,000 orang pelajar,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian ketika menjawab Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) berkenaan usaha berterusan menangani isu kekurangan penempatan pelajar kolej kediaman IPTA khususnya golongan B40.

Mengulas lanjut, Dr Zambry berkata, bagi tahun 2025, KPT turut menerima peruntukan RM800 juta untuk penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA, termasuk asrama dan kolej kediaman.

Selain itu, katanya, kementerian turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memenuhi keperluan penginapan pelajar menerusi pembangunan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya sebagai projek rintis.

“Pembinaan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya yang telah pun dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dua minggu yang lalu, yang dijangka siap pada tahun 2026 dan seterusnya dapat memberi manfaat kepada 10,000 orang pelajar di Universiti Malaya.

“Dalam Bajet yang sama, Yang Amat Berhormat telah mengumumkan untuk dua lagi universiti untuk tahun 2025 melibatkan UniSZA dan UiTM. Peruntukan sebanyak RM750 juta oleh KWAP bagi pembangunan apa yang dipanggil sebagai Projek Vista Campus, dan seterusnya akan melibatkan enam buah universiti yang lain,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO