Semai ‘BN Sayang Rakyat’, Tolak Politik Fitnah Dan Kebencian
MELAKA, 22 Okt – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, meneruskan komitmen gerak kerja bersama jentera parti berteraskan ‘BN Sayang Rakyat’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan menekankan pendekatan politik berteraskan keprihatinan terhadap masyarakat.
Kesediaan itu dizahirkan selepas selesai siri lawatan ke setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, sekali gus memperkukuh gerak kerja akar umbi serta merapatkan hubungan antara kepimpinan parti dengan masyarakat setempat.
Menurut Abdul Hakim, siri lawatan berkenaan bukan sekadar memenuhi agenda organisasi, malah menjadi ruang penting untuk mendengar suara rakyat, memahami keperluan setempat dan memastikan setiap gerak kerja politik berpaksikan kepentingan masyarakat.

“Bagi kami, politik bukan medan untuk menabur kebencian atau menyebarkan fitnah. Politik sepatutnya menjadi ruang untuk berkhidmat, membawa penyelesaian dan membuktikan bahawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan, malah inilah seruan yang diterapkan oleh kepimpinan tertinggi parti termasuk Datuk Ser Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan ‘BN Sayang Rakyat’ perlu diterjemahkan melalui tindakan dan komitmen yang konsisten, bukannya sekadar slogan menjelang pilihan raya.
Katanya, rakyat hari ini memerlukan kepimpinan yang dekat dengan kehidupan mereka, memahami cabaran yang dihadapi serta bersedia mencari penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, kebajikan keluarga dan masa depan golongan muda.
“Kita mahu rakyat menilai berdasarkan usaha, rekod khidmat dan kemampuan membawa perubahan. Jangan biarkan fitnah, adu domba serta politik kebencian merosakkan keharmonian masyarakat. Perbezaan pandangan itu perkara biasa dalam demokrasi, tetapi jangan sampai kita hilang rasa hormat sesama sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai gerak kerja di peringkat akar umbi, Abdul Hakim berkata, penyempurnaan lawatan ke semua PDM dalam DUN Lendu merupakan satu langkah penting dalam menilai kesiapsiagaan jentera serta memperkukuh penyelarasan gerak kerja menjelang PRN Melaka.
Beliau turut menekankan bahawa kekuatan sesebuah parti tidak hanya bergantung pada jumlah jentera atau kemeriahan program, sebaliknya terletak pada kepercayaan rakyat yang dibina melalui keikhlasan, disiplin dan kesungguhan untuk membantu.
“Kita mesti turun padang bukan hanya ketika pilihan raya. Kita mahu rakyat melihat bahawa Pemuda UMNO sentiasa bersedia mendengar, membantu dan bersama-sama mereka ketika senang mahupun susah. Kepercayaan rakyat perlu dibina setiap hari, bukan diminta hanya apabila tiba musim mengundi.”

Tambah beliau, setiap anggota jentera perlu memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab, menyampaikan maklumat yang tepat serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut mengajak orang ramai khususnya golongan muda agar menjadi penggerak kepada perubahan positif dengan memanfaatkan media sosial secara bertanggungjawab, menolak penyebaran berita tidak sahih dan membudayakan perbincangan berasaskan fakta.
Katanya, anak muda bukan sekadar penentu masa depan negara, malah mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan landskap politik terus berkembang secara sihat, berintegriti dan berorientasikan kepentingan rakyat.
“Kami mahu membawa politik yang menyatukan, bukan memecahbelahkan; politik yang membina, bukan menghancurkan; dan politik yang memberi harapan, bukan menyemai kebencian. Inilah semangat BN Sayang Rakyat yang mahu kita bawa kepada masyarakat.” – UMNO Online
