BN Sayang Rakyat: Amal Politik Sihat, Hindari Kebencian
MELAKA, 21 Okt – Jentera Barisan Nasional (BN) perlu memperkukuh perpaduan, merapatkan saf dan mengamalkan politik sihat dengan menghindari kempen berunsur kebencian, hasutan serta fitnah sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, seruan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya semua parti politik dan jentera pilihan raya mengamalkan kempen secara berhemah perlu disambut dengan penuh tanggungjawab.
Menurut beliau, pendekatan politik yang berteraskan nilai murni, saling menghormati dan mengutamakan kepentingan rakyat perlu menjadi pegangan semua pihak dalam menghadapi PRN Melaka.

“Ini bukan cara kita dalam menyemai kasih sayang kepada rakyat jika kempen dipenuhi kebencian, hasutan dan fitnah. Sebaliknya, kita mahu menyemaikan sifat-sifat murni, mengamalkan politik sihat dan memastikan perjuangan parti sentiasa berlandaskan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Hang Tuah Jaya yang disempurnakan oleh Datuk Seri Ab Rauf malam tadi.
Fairul Nizam berkata, semangat BN Sayang Rakyat perlu diterjemahkan melalui gerak kerja yang tersusun, perpaduan yang kukuh serta usaha berterusan mendekati rakyat, bukannya dengan menyebarkan kebencian atau menyerang pihak lain menggunakan fitnah.
Katanya, seluruh jentera BN perlu memastikan kempen dilaksanakan secara matang, berdisiplin dan berhemah, selain menyampaikan mesej perjuangan parti berdasarkan fakta serta tawaran yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Dalam menghadapi PRN Melaka, perkara paling penting ialah kita terus merapatkan saf, mengukuhkan perpaduan dan bergerak sebagai satu pasukan. Jangan ada ruang untuk perpecahan, sebaliknya seluruh jentera perlu memberikan tumpuan kepada usaha memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Ridhwan Ali serta seluruh jentera BN atas komitmen memperkukuh kesiapsiagaan parti di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pelancaran jentera itu merupakan langkah penting untuk menyatukan gerak kerja, menyusun strategi dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa menjelang PRN Melaka.
Tambah beliau, kekuatan BN bukan sekadar terletak pada keupayaan jentera menghadapi pilihan raya, tetapi turut bergantung kepada kesungguhan anggota parti memahami keperluan rakyat dan memberikan khidmat secara konsisten.

“Jentera yang kuat ialah jentera yang sentiasa bersama rakyat, bukan hanya ketika pilihan raya. Kepercayaan rakyat perlu dibina melalui keikhlasan, khidmat yang konsisten dan kesungguhan kita dalam membawa suara mereka.
“Kita mahu setiap pengundi melihat BN sebagai sebuah gabungan yang sentiasa bersedia mendengar, membantu dan berkhidmat. Inilah makna sebenar BN Sayang Rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh jentera BN supaya terus menjaga kesepaduan dan mengutamakan pendekatan kempen yang sihat, sekali gus menyambut seruan Ketua Menteri agar PRN Melaka berlangsung dalam suasana aman, matang dan saling menghormati.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam pada 13 November.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi, dengan BN memenangi 21 kerusi pada PRN lalu, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – UMNO Online
