Gelombang Biru Di Tanjung Malim, Terus Rapatkan Saf

SLIM RIVER, 19 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semangat dan kesungguhan jentera BN yang hadir pada perhimpunan keluarga besar BN Parlimen Tanjung Malim perlu diteruskan menerusi gerak kerja mendekati rakyat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan keluarga besar BN Parlimen Tanjung Malim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, malam tadi.

Menurut Saarani, perhimpunan itu menghimpunkan wajah lama yang terus setia dengan perjuangan serta wajah baharu yang membawa semangat baharu.

“Melihat kesungguhan dan semangat mereka, saya yakin semua mahukan BN terus diberi mandat untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Namun, kepercayaan itu tak datang dengan sendiri. Kita perlu usaha dan buktikan dengan gerak kerja,” katanya.

Beliau turut mengingatkan seluruh jentera supaya tidak membiarkan semangat yang ditunjukkan ketika perhimpunan itu terhenti setakat di dalam dewan sahaja.

“Kepada seluruh jentera, jangan biarkan semangat ini terhenti di dalam dewan ini sahaja.

“Kita ada kerja yang perlu diteruskan. Rapatkan saf, kukuhkan kerjasama serta terus dekati rakyat dan masyarakat,” katanya.

Saarani turut mendoakan agar segala usaha dan perjuangan mereka dipermudahkan Allah SWT. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO