Kerjasama Strategik Perkasa Bakat Anak Johor – Dr Naqib

JOHOR BAHRU, 17 Okt – Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh bagi meningkatkan pembangunan bakat tempatan serta memperluas peluang pekerjaan berkualiti, khususnya untuk anak-anak Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, perkara itu antara fokus pertemuan beliau bersama Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah di Kementerian Ekonomi, baru-baru ini.

Menurut beliau pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan mengenai usaha memperkukuh ekosistem pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta memperluas akses kepada peluang pekerjaan berkualiti.

“Antara fokus utama perbincangan adalah untuk memastikan pembangunan modal insan di Johor terus bergerak seiring dengan keperluan industri dan perkembangan ekonomi semasa, khususnya dalam sektor-sektor berimpak tinggi yang menawarkan peluang kerjaya dengan pendapatan lebih kompetitif,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Ekonomi dan Johor Talent Development Council (JTDC) akan terus diperkukuh bagi menyelaraskan pembangunan bakat tempatan dengan permintaan pasaran pekerjaan.

“Usaha itu juga penting bagi memastikan lebih ramai anak Johor berpeluang mengisi pekerjaan berkemahiran tinggi, selaras dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Johor akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan anak-anak Johor bukan sahaja menjadi sebahagian daripada pertumbuhan ekonomi negeri, malah turut menikmati manfaat daripada kemajuan yang sedang dibangunkan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mohd Shahar atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi pandangan dan komitmen dalam memperkasakan agenda pembangunan bakat dan peluang pekerjaan di Johor.

“Kerjasama berterusan antara kerajaan negeri, kementerian dan pihak berkepentingan diharap dapat memastikan pembangunan modal insan Johor kekal relevan dengan keperluan industri, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada anak negeri untuk merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO