China Sokong Malaysia Jadi Anggota Penuh BRICS, Perkukuh Kerjasama ASEAN – China – GCC

BEIJING, 15 Okt – China sekali lagi menyatakan sokongan terhadap hasrat Malaysia untuk menjadi anggota penuh BRICS, selain berharap Putrajaya terus memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan kerjasama antara Beijing dengan negara-negara ASEAN.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sokongan itu ditegaskan semula dalam perbincangan beliau bersama rakan sejawatnya Ding Xuexiang di Great Hall of People, di sini hari ini, selepas Presiden China Xi Jinping sebelum ini turut menyatakan pendirian sama.

Walaupun terdapat sokongan daripada Presiden Xi sebelum ini, dalam perbincangan hari ini, China sekali lagi menyatakan sokongan terhadap kemasukan Malaysia sebagai anggota penuh BRICS.

“Sokongan China itu penting memandangkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memperoleh persetujuan daripada negara-negara anggota asal BRICS bagi menyokong kemasukan Malaysia sebagai anggota penuh kumpulan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata China turut berharap Malaysia dapat meneruskan peranannya sebagai penghubung dalam memperkukuh kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN.

Beliau berkata perkara itu termasuk usaha meneruskan kerjasama tiga hala antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China menerusi penganjuran sidang kemuncak yang melibatkan ketiga-tiga pihak.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-Chino-GCC ketika Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung tahun lepas.

Dalam hal ini, beliau berkata Malaysia diharapkan dapat terus memainkan peranan yang sama apabila sidang kemuncak berkenaan diadakan di China kelak.

Ahmad Zahid berkata kerjasama berkenaan turut merangkumi usaha menggunakan renminbi (RMB) dalam urusan perdagangan dengan China dan negara-negara GCC.

Beliau berkata langkah itu berpotensi memberikan kesan terhadap urusan pertukaran mata wang antara ringgit dan RMB, selain urusan pertukaran mata wang dengan negara-negara GCC.

China akan mempengerusikan BRICS pada 2027 dan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ke-19 perkumpulan itu pada tahun depan.

BRICS ialah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada 2006 oleh Brazil, Rusia, India don China. sebelum Afrika Selatan menyertainya pada 2011. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO