Pan Borneo Sabah: Cari Penyelesaian, Bukan Saling Menyalahkan

KOTA KINABALU, 15 Okt – Kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A perlu ditangani melalui kerjasama semua pihak dan penambahbaikan proses pelaksanaan, bukannya dengan menuding jari kepada Kerajaan Negeri Sabah, kata Ketua Merinyu Projek merangkap Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, kelewatan projek itu melibatkan pelbagai faktor teknikal, pentadbiran dan kewangan yang memerlukan penyelarasan berkesan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pihak pelaksana.

Menurut beliau, lebih 70 peratus projek berkenaan membabitkan pelebaran jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong, termasuk kerja pengambilan tanah, kawasan penempatan penduduk, bangunan dan pemindahan utiliti.

Katanya, keadaan itu menjadikan pelaksanaan projek lebih kompleks, terutama apabila reka bentuk asal perlu diubah suai supaya bersesuaian dengan keadaan sebenar di tapak.

“Perubahan reka bentuk memerlukan penelitian serta penyelarasan pelbagai perunding dan pakar teknikal yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya (KKR),” katanya menerusi kenyataan berkaitan hal terbabit.

Ujarnya, setiap perubahan turut berpotensi meningkatkan kos projek dan memerlukan penilaian teknikal serta kelulusan kewangan daripada KKR dan Kementerian Kewangan (MOF).

Proses kelulusan yang panjang, jelasnya, boleh menjejaskan kelancaran kerja di tapak, sekali gus menunjukkan perlunya mekanisme pentadbiran yang lebih cekap bagi menangani isu berbangkit.

Sehubungan itu, Salleh mencadangkan supaya KKR dan MOF memperkemas mekanisme kelulusan, khususnya berkaitan Arahan Perubahan Kerja (VO) dan pelarasan had kewangan, bagi mengelakkan kelewatan berulang.

Katanya, prosedur yang lebih jelas dan pantas wajar diperincikan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan melalui Perjanjian Tambahan supaya keputusan dapat dibuat tanpa menjejaskan kemajuan projek.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan Pan Borneo Sabah memerlukan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, perunding, kontraktor dan syarikat utiliti, dengan setiap pihak dinilai berdasarkan bidang kuasa serta tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, pendekatan saling menyalahkan tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya semua pihak perlu memberi tumpuan kepada tindakan konkrit untuk mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Rakyat Sabah mahu melihat lebuh raya ini disiapkan, bukannya terus terperangkap dalam polemik siapa yang harus dipersalahkan.

“Keutamaan kita mesti jelas, iaitu memperkukuh kerjasama, mempercepatkan keputusan dan memastikan setiap isu diselesaikan dengan berkesan demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO