UMNO Sabah Komited Bantu Jentera BN di Telok Emas, Duyong

MELAKA, 12 Okt – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, menegaskan komitmen UMNO Sabah untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Emas dan Duyong bagi memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke UMNO Bahagian Kota Melaka bersama delegasi UMNO Sabah yang diketuai Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop.

Ketibaan delegasi berkenaan disambut Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Menurut Salleh, lawatan itu mencerminkan semangat kebersamaan dan solidariti antara UMNO Sabah dengan jentera parti di Melaka dalam menghadapi cabaran pilihan raya.

Beliau berkata, kerjasama dan sokongan sesama anggota parti amat penting bagi memastikan jentera di peringkat akar umbi dapat bergerak secara tersusun dan berkesan.

“Dalam politik ini mesti ada pegangannya dan pegangan kita adalah demi menentukan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran delegasi UMNO Sabah bukan sekadar lawatan, sebaliknya membawa semangat kekeluargaan dan kesediaan untuk bersama-sama membantu jentera parti di lapangan.

“Kita turun padang kerana kita sebagai satu keluarga besar dan bersama-sama bagi memastikan kemenangan BN di Melaka,” katanya.

Ujarnya, komitmen UMNO Sabah itu diharap dapat memperkukuh gerak kerja jentera parti, khususnya di DUN Telok Emas dan Duyong, sekali gus meningkatkan usaha BN untuk meraih kembali kemenangan pada PRN Melaka. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO