Peruntukan KKDW … Jangan Jadi Dap
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Dakwaan berlaku ‘terlebih belanja’ dalam Program Jalan Luar Bandar (JALB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu dinilai berdasarkan peruntukan yang telah dipinda, bukannya hanya melihat kepada jumlah peruntukan asal.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fadzmel Fadzil berkata, kegagalan membezakan kedua-dua perkara itu boleh menyebabkan angka perbelanjaan kerajaan diterjemahkan secara tidak tepat.
Kenyataan itu susulan tindakan beberapa pemimpin Dap membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan perbezaan RM2.1 bilion membabitkan peruntukan JALB.

Menurut Fadzmel, setiap perbelanjaan kementerian tertakluk kepada kelulusan, waran dan sistem kewangan kerajaan, justeru kementerian tidak boleh sesuka hati membelanjakan wang melebihi peruntukan yang diluluskan.
“Bagi projek pembangunan, peruntukan boleh diselaraskan mengikut keperluan projek dan tertakluk kepada kelulusan, termasuk daripada Kementerian Kewangan (MOF).
“Jangan bandingkan peruntukan asal dengan perbelanjaan akhir tanpa melihat peruntukan yang telah dipinda,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberikan contoh sekiranya sesebuah projek pada asalnya menerima peruntukan RM100 juta, sebelum jumlah itu diselaraskan kepada RM150 juta susulan peningkatan keperluan projek.
“Jika RM145 juta dibelanjakan, apabila dibandingkan dengan RM100 juta memang nampak seperti terlebih RM45 juta.
“Tetapi apabila dibandingkan dengan peruntukan selepas pelarasan iaitu RM150 juta, masih terdapat baki RM5 juta,” katanya.
Fadzmel berkata, bagi tempoh 2023 hingga 2025, peruntukan asal JALB adalah sekitar RM3.982 bilion sebelum diselaraskan kepada RM6.143 bilion.
Katanya, jumlah perbelanjaan sebenar bagi tempoh berkenaan pula adalah RM6.108 bilion.
“Ini bermakna masih terdapat baki kira-kira RM34.3 juta untuk dibelanjakan.
“Jadi, KKDW bukan terlebih belanja apabila mengambil kira peruntukan selepas pelarasan,” katanya.

Beliau berkata, pelarasan peruntukan merupakan perkara yang boleh berlaku dalam pengurusan projek kerajaan, antaranya disebabkan kemajuan projek, tuntutan pembayaran, komitmen sedia ada, perubahan skop serta penyelarasan siling pembangunan.
Menurutnya, kadar peratusan perbelanjaan KKDW juga berubah daripada 61.3 peratus kepada 58.4 peratus selepas mengambil kira pelarasan, dengan perbezaan 2.9 mata peratus.
Dalam pada itu, Fadzmel turut membandingkan kaedah pengiraan tersebut dengan peruntukan MOF.
Katanya, berdasarkan peruntukan asal, prestasi perbelanjaan MOF pernah dicatat pada 214.09 peratus, namun selepas mengambil kira peruntukan yang dipinda, angka berkenaan menjadi 79.10 peratus.
“Perbezaannya ialah 134.99 mata peratus. Peruntukan asal RM81 bilion kelihatan seperti berlaku ‘terlebih belanja’ apabila perbelanjaan mencecah RM173.4 bilion.
“Namun selepas peruntukan diselaraskan kepada RM219.2 bilion, perbelanjaan tersebut sebenarnya masih mempunyai baki sekitar RM45.8 bilion,” katanya.
Fadzmel menegaskan bahawa perubahan jumlah peruntukan selepas penyelarasan tidak bermaksud wang kerajaan dibelanjakan sesuka hati.
Sebaliknya, katanya, sebarang perbelanjaan tetap tertakluk kepada tatacara dan kelulusan kewangan kerajaan.
“Kita menghormati proses undang-undang dan apa jua siasatan pihak berkuasa.
“Namun rakyat juga berhak memahami bagaimana peruntukan kerajaan sebenarnya berfungsi dan tidak terkeliru dengan perbandingan antara peruntukan asal dan peruntukan dipinda.
“Jangan jadi Dap dalam menterjemahkan angka peruntukan kerajaan,” tegasnya lagi. – UMNO Online
