Agenda Malaysia Biru: GST Wajar Dikembalikan Jika BN Diberi Mandat – Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr. Wee Ka Siong menegaskan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod kukuh dalam melaksanakan agenda pembangunan negara sepanjang lebih enam dekad, sekali gus membuktikan keupayaan gabungan itu mentadbir negara secara berkesan.

Beliau yang juga mantan Menteri Pengangkutan berkata, pengalaman BN selama 60 tahun wajar dijadikan sandaran dalam merangka hala tuju ekonomi negara, termasuk mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkannya sebagai antara mekanisme penting bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara.

Katanya, perkembangan terkini termasuk pelaksanaan e-Invois menunjukkan terdapat komponen dalam sistem percukaian yang sebelum ini diperkenalkan melalui GST dan kini turut digunakan dalam mekanisme percukaian semasa.

“Buat kali pertama kita dapat dengar jawapan mengenai GST yang selama ini mereka kutuk. Dulu mereka kata GST tidak baik, tetapi hari ini mereka mengakui ada kebaikan dalam GST sehingga sebahagian komponennya digunakan dalam sistem SST.

“E-Invois itu sendiri adalah sebahagian daripada konsep yang pernah ada dalam GST. Sebab itu, kalau mahu lihat buktinya, tunjukkan sahaja. Sistem ini lebih tertib dan perkara ini sebenarnya sudah kita ketahui sejak lebih sedekad lalu.

“Kalau Sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) sudah digunakan selama 50 tahun, tidak bermakna ia paling baik. Kalau GST digunakan di banyak negara, ia bukan kerana negara-negara itu bodoh, tetapi kerana sistem itu mempunyai kelebihan dan mampu membantu meningkatkan taraf ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam BN Forum ke-12 di Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta peserta-peserta BN forum.

Mengulas lanjut, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menjelaskan sekiranya Agenda Malaysia Biru berjaya direalisasikan dan BN memperoleh mandat pada pilihan raya akan datang, usaha mengembalikan GST perlu menjadi antara agenda utama kerajaan.

“Sebab itu saya kata, kalau Agenda Malaysia Biru betul-betul kita menang dalam pilihan raya, nombor satu GST kena bawa balik. Ini janji kita, perjuangan kita tidak pernah berhenti sehingga hari ini.

“Saya melihat perkara ini sangat penting dan boleh membantu rakyat jelata,” katanya.

Dalam pada itu, Wee turut menekankan kepentingan membina Malaysia yang bukan sahaja unggul di peringkat domestik, malah disegani di persada dunia, khususnya dalam bidang teknologi, pendidikan dan inovasi.

“Malaysia tidak boleh sekadar menjadi juara di peringkat sendiri, sebaliknya perlu mempunyai keupayaan untuk berdiri setanding dengan negara maju menerusi penguasaan teknologi dan pembangunan modal insan.

“Kita bukan sahaja mahu menjadi juara kampung. Kita juga mahu berdiri sama tinggi dengan negara lain melalui teknologi yang dibangunkan, termasuk melalui kementerian berkaitan dan institusi pengajian tinggi. Kita mahu anak-anak kita mempunyai keupayaan, ilmu dan teknologi yang mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang unggul serta disegani dunia,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO