UMNO Lahad Datu Bawa Suara Rakyat, Isu Banjir Diberi Perhatian

LAHAD DATU, 8 Okt – UMNO Bahagian Lahad Datu terus memainkan peranan membawa suara dan kepentingan rakyat apabila isu banjir yang saban tahun membelenggu penduduk daerah berkenaan diberi perhatian melalui perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, berkata usaha berterusan membawa isu berkenaan kepada pihak berkaitan penting bagi memastikan masalah yang dihadapi rakyat tidak sekadar menjadi isu bermusim, sebaliknya mendapat tindakan dan penyelesaian yang sewajarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Lahad Datu, Sabah bagi membincangkan secara khusus isu banjir serta keadaan sungai dan sistem saliran yang dikenal pasti antara kawasan terjejas.

Menurutnya, hasil perhatian dan usaha berterusan, beberapa sungai yang dikenal pasti sering terjejas akibat banjir di Lahad Datu telah dimasukkan dalam perancangan bajet RMK-13.

Antara kawasan yang mendapat perhatian ialah Sungai Kampung Sapagaya, Tabanak, Pancurang, Segama dan Indarjaya.

“Ini adalah antara perkara yang kita perjuangkan kerana kita faham kesusahan yang ditanggung rakyat apabila banjir berlaku. Setiap tahun penduduk berdepan gangguan terhadap kehidupan seharian, selain risiko kerosakan dan kehilangan harta benda.

“Justeru, UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus membawa suara rakyat dan memastikan isu seperti ini diberi perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Sharif berkata, perbincangan bersama JPS juga penting bagi memastikan perkembangan berkaitan perancangan dan pelaksanaan projek dapat terus dipantau dari semasa ke semasa.

Jelasnya, penyelesaian terhadap masalah banjir memerlukan perancangan yang tersusun, termasuk usaha menaik taraf sungai, memperbaiki sistem saliran serta mengenal pasti punca yang menyebabkan kawasan tertentu mudah dilanda banjir.

“Kita tidak mahu hanya turun ketika banjir berlaku. Kita mahu masalah ini ditangani dari puncanya dan dibuat secara terancang supaya rakyat dapat merasai manfaatnya dalam jangka panjang.

“Peranan kita adalah untuk terus memantau, membawa suara rakyat dan memastikan perkara yang telah dirancang dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut berharap peruntukan dan perancangan di bawah RMK-13 dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek secara berperingkat, khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah banjir berulang.

Menurutnya, usaha tersebut bukan semata-mata berkaitan pembangunan fizikal, tetapi menyentuh secara langsung soal keselamatan, kesejahteraan dan harta benda rakyat Lahad Datu.

Sharif menegaskan UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus berada di lapangan dan mendengar permasalahan rakyat, selain membawa isu berkenaan kepada agensi serta pihak kerajaan untuk tindakan selanjutnya.

“Bagi kita, perjuangan UMNO adalah perjuangan untuk rakyat. Apa sahaja masalah yang membebankan rakyat, kita akan cuba bawa ke hadapan dan cari jalan penyelesaian.

“Insya-Allah, kita akan terus bekerja untuk memastikan masalah banjir di Lahad Datu dapat ditangani dengan lebih berkesan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO