Kes Buli, Vandalisme Membimbangkan, Media Sosial Perlu Dipantau – Waheeda

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Pengaruh media sosial tanpa batasan dilihat antara faktor yang turut mempengaruhi tingkah laku pelajar, khususnya dalam menghadapi pelbagai isu sosial yang semakin membimbangkan ketika ini.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheeda Faruz Telahah berkata, masyarakat kini berdepan fasa mencabar susulan peningkatan perhatian terhadap kes buli dalam kalangan pelajar, termasuk insiden melibatkan keganasan dan vandalisme di sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sedih apabila kita menerima berita mengenai kes buli dalam kalangan pelajar, kes bunuh dalam lingkungan sekolah dan IPT serta vandalisme. Pada saya, kita sedang menghadapi satu fasa yang mencabar.

“Dalam hal ini, pemantauan Kementerian Komunikasi juga amatlah penting dalam memastikan pelajar dipantau kecenderungan melayari pelbagai kandungan di laman sesawang diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Tambah beliau, usaha membendung gejala berkenaan tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak sekolah atau kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.

“Ayuh… semua rakyat Malaysia berganding tangan dan bersama-sama memantau serta menjadi mata dan telinga dalam membendung kes atau isu buli serta kemurungan yang dihadapi oleh pelajar.

“Kerjasama semua pihak amat penting supaya setiap isu dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal sebelum membawa kepada kejadian yang lebih serius,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Biro Tugas-Tugas Khas Wanita UMNO berkata, tragedi kematian pelajar yang berlaku di Johor dan Pahang baru-baru ini amat membimbangkan dan perlu dilihat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Di mana salahnya? Di mana puncanya? Adakah rakyat Malaysia makin lama semakin hilang punca dan pedoman?

“Adakah kesalahan ini datangnya daripada keluarga, ibu, bapa dan penjaga atau daripada tahap pengawasan, didikan serta etika pembelajaran pihak sekolah, guru, tenaga pengajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya lagi.

Tambah Waheeda, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk dengan menilai semula dasar serta mekanisme penguatkuasaan disiplin pelajar di sekolah.

“Isu begini harus diambil berat dan dipikul oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memantau serta meneliti semula dasar penguatkuasaan pelajar di sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Jangan kita hanya mencari siapa yang bersalah selepas tragedi berlaku, tetapi perlu melihat keseluruhan sistem supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO