Sena Specialist Hospital Perkukuh Akses Kesihatan Rakyat Bentong

BENTONG, 7 Okt – Kewujudan Sena Specialist Hospital Bentong mampu memperkukuh akses masyarakat setempat kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti menerusi penyediaan pelbagai kepakaran dan kemudahan diagnostik moden.

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh menerusi lawatan rasmi ke hospital berkenaan, di sini, semalam.

Mohamad Zaini berkata, perkembangan perkhidmatan kesihatan di Bentong perlu terus diberi perhatian bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada rawatan yang sewajarnya dengan lebih mudah dan berkualiti.

“Lawatan seperti ini penting untuk kita melihat sendiri keadaan di lapangan serta memahami keperluan rakyat, khususnya berkaitan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut menerima taklimat mengenai perkembangan dan perkhidmatan Sena Specialist Hospital Bentong yang disampaikan Deputy Chief Operating Officer hospital berkenaan, Tan Ching Haw.

Sena Specialist Hospital Bentong mula beroperasi pada 10 Ogos 2026 dengan kapasiti 30 katil serta menawarkan perkhidmatan kepakaran termasuk Orthopaedic, Cardiology, Internal Medicine, Plastic & Reconstructive Surgery, Paediatrics serta Obstetrics & Gynaecology.

Hospital berkenaan turut dilengkapi kemudahan diagnostik seperti MRI 1.5 Tesla, CT Scan 128-slice, Mammogram dan Digital X-Ray, manakala perkhidmatan pakar Ophthalmology dan ENT akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Mohamad Zaini berkata, pendekatan turun padang membolehkan perkembangan serta keperluan semasa berkaitan perkhidmatan kesihatan dikenal pasti dengan lebih dekat.

“Keutamaan kita adalah rakyat. Apa juga usaha yang dilakukan perlu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat dan memastikan mereka mendapat perkhidmatan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan serta warga Sena Specialist Hospital Bentong atas sambutan dan kerjasama yang diberikan sepanjang lawatan.

Turut menyertai lawatan ialah Datuk Ir. Ts. Jamaluddin Buyong, Datuk Jamaludin Ali dan Abd Rahman Abd Aziz, masing-masing Ahli Majlis Perbandaran Bentong, dengan Abd Rahman turut merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Bentong.

Mohamad Zaini berharap hubungan dan kerjasama yang terjalin dapat terus diperkukuh bagi memastikan perkembangan sektor kesihatan di Bentong terus memberi manfaat kepada masyarakat setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO