‘… Bulat Lembaga Melantik Undang, Bulat Undang Melantik Raja’

KUALA PILAH, 6 Okt – Perbilangan Adat Perpatih Negeri Sembilan iaitu ‘bulat anak buah melantik Buapak, bulat Buapak melantik Lembaga, bulat Lembaga melantik Undang ataupun penghulu, bulat Undang melantik Raja’ perlu dijadikan rujukan agar krisis di negeri tersebut dapat difahami sebaiknya.

Besar Waris Suku Seri Lemak Minangkabau, Luar Ulu Muar, Mohamad Nazmi Mohd Zaini berkata, sistem Adat Perpatih yang telah diamalkan sejak sekian lama itu berteraskan kepada demokrasi dan persetujuan setiap pihak terlibat.

“Apa yang saya faham ialah saya tidak memihak kepada sesiapa… ini adalah satu proses. Kalau ikut sejarah dulu-dulu, ini adalah perkara biasa. Cuma krisis ini berlaku di zaman moden.

“Jadi, kes Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ini adalah yamtuan pertama yang diputuskan dalam krisis ini. Apabila dirujuk kepada perbilangan ‘bulat anak buah melantik Buapak, bulat Buapak melantik Lembaga, bulat Lembaga melantik Undang ataupun penghulu, bulat Undang melantik Raja’.

“Jadi sistem ini kalau kita ceritakan daripada awal, ia mengamalkan konsep demokrasi. Bukannya kita sewenang-wenangnya boleh melantik diri kita menjadi seorang pemimpin. Ia dilantik oleh anak buah,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, keputusan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dibuat berdasarkan autoriti adat dan kebijaksanaan mereka tanpa mendedahkan sebarang keaiban yang dilakukan oleh raja.

“Dalam hal ini, apa yang dilakukan oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin itu berdasarkan kebijaksanaan, autoriti adat dan ada sebab mengapa mereka mengumumkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz.

“Ini kerana perkara-perkara yang melibatkan cacat cela, aib, air muka, perkara yang tidak elok di kalangan raja… dibincangkan dalam kebulatan raja yang dianggotai oleh Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

“…dan tidak seeloknya perkara tersebut diceritakan kepada orang ramai kerana kita menjunjung adat dan air muka orang terutama sekali raja kita,” katanya lagi.

Tegasnya, isu dan bagaimana sistem Adat Perpatih berfungsi sebenarnya difahami dengan jelas oleh rakyat Negeri Sembilan khususnya mereka yang tinggal di tanah adat.

“Bagi saya, rakyat dengar untuk pemahaman, tetapi kita tidak boleh kawal segala kecaman sebab dengan kemudahan teknologi maklumat sekarang ini, orang akan sewenang-wenangnya berkongsi dan memberi pendapat.

“Saya lihat ramai yang memberi komen untuk isu adat ini, bukannya orang Negeri Sembilan. Kebanyakan daripadanya dari luar Negeri Sembilan yang tidak memahami bagaimana Adat Perpatih ini berfungsi.

“Pada pandangan saya, rata-rata rakyat Negeri Sembilan terutama sekali orang yang duduk di tanah adat faham mengenai isu ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa Adat Perpatih amat menekankan permuafakatan untuk menghadapi segala masalah yang timbul demi menjamin keharmonian adat dan rakyat di Negeri Sembilan.

“Itulah fungsi institusi adat. Kata istilah adat yang saya belajar pun ‘kalau sosek di hujung jalan, pulang balik di pangkal jalan. Kalau sosek mestilah pulang balik berkerapatan nyok’. jiwa semangat adat itu, kalau ada masalah macam mana pun tetap duduk bermuafakat.

“Segala kesulitan yang dihadapi perlu berteraskan ‘apo kekusutan dirungkai, apo yang koruh dijernihkan’. Adat perpatih tidak menekankan berperang bahkan berdamai,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO