Bukan Sekadar Janji, Mohd Zaidy Bawa Isu Rakyat Jadi Realiti
JEMPOL, 6 Okt – Komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaïdy Abdul Kadir, dalam membawa isu rakyat sehingga ke peringkat penyelesaian terus diterjemahkan menerusi beberapa projek penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan berkenaan.
Daripada isu keselamatan cerun, penyelenggaraan jalan raya hinggalah masalah bekalan air yang membelenggu sebuah sekolah Tamil hampir tiga dekad, kesemua perkara itu terus diberi perhatian menerusi kerjasama dengan agensi teknikal berkaitan.
Antara perkembangan terbaharu ialah pelaksanaan Kerja-Kerja Preventif Cerun Bahaya dan Berisiko Tinggi di Jalan Jelai–Rompin (N20), Seksyen 11.4, yang bertujuan mengurangkan risiko tanah runtuh serta kerosakan cerun.

Kerja tersebut merangkumi pemasangan sangkar gabion serta pembinaan dan penambahbaikan longkang bagi mengukuhkan struktur cerun dan mengawal aliran air, terutama ketika musim hujan lebat.
Mohd Zaïdy berkata, tindakan pencegahan perlu dilaksanakan sebelum sesuatu kejadian berlaku, bukannya hanya bertindak selepas keselamatan pengguna terancam.
“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga berlaku kerosakan atau kejadian yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya sebelum tindakan diambil. Aspek keselamatan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam perkembangan yang turut mendapat perhatian, SJKT Ladang Kelpin kini berada di landasan penyelesaian selepas berdepan masalah bekalan air yang didakwa berlarutan hampir 30 tahun.
Cadangan pemasangan paip HDPE berukuran 63 milimeter sepanjang kira-kira 12 kilometer ke sekolah berkenaan sedang melalui proses pelaksanaan menerusi kerjasama SAINS, JKR Jempol dan agensi berkaitan.
Mohd Zaïdy menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar projek fizikal, sebaliknya menyentuh keperluan asas murid dan warga sekolah.

“Bagi saya, setiap masalah rakyat mesti diperjuangkan sehingga ada penyelesaiannya. Inilah amanah yang perlu terus dilaksanakan. Penantian hampir 30 tahun, insya-Allah kita selesaikan,” katanya.
Sementara itu, aspek keselamatan murid dan pengguna jalan raya di SJKT Ladang Middleton turut diperkasa menerusi kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan di Jalan Jelai–Rompin (N20).
Ujarnya, kerja berkenaan merangkumi penurapan premix, pemasangan papan tanda amaran kawasan sekolah serta kerja-kerja garisan jalan yang dibuat bagi mewujudkan persekitaran perjalanan yang lebih selamat kepada murid, ibu bapa, guru serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan sekolah tersebut.
Mohd Zaïdy turut merakamkan penghargaan kepada JKR Daerah Jempol atas komitmen melaksanakan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan keselamatan jalan raya secara berterusan.
Menurut beliau, pendekatan yang mahu diketengahkan ialah memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat diberi susulan sehingga terdapat perkembangan yang boleh dirasai masyarakat.
“Kerja-kerja pencegahan mungkin tidak begitu kelihatan hasilnya dalam masa singkat, tetapi ia sangat penting untuk mengelakkan masalah yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan di kawasan DUN Jeram Padang tidak hanya bergantung kepada pembinaan projek baharu, sebaliknya turut memerlukan penyelenggaraan, pemantauan dan tindakan susulan terhadap kemudahan sedia ada.
“Bukan sekadar janji, tetapi usaha sehingga menjadi realiti. Selagi ada perkara yang boleh kita perjuangkan untuk kepentingan rakyat Jeram Padang, kita akan teruskan,” katanya lagi. – UMNO Online
