Gangguan Air Labuan: Rakyat Perlukan Tindakan Segera, Bukan Terus Menunggu

LABUAN, 6 Okt – Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera bagi menangani gangguan bekalan air yang berlarutan beberapa hari dan menjejaskan kehidupan harian rakyat di pulau itu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada masyarakat Labuan yang terkesan akibat gangguan berkenaan, yang difahamkan berpunca daripada masalah pam air mentah di Loji Rawatan Air Lawa Gadong, Beaufort, yang menjadi antara sumber utama bekalan air ke Labuan.

Menurutnya, walaupun kerosakan teknikal boleh berlaku, keadaan yang menyebabkan sebahagian besar kawasan Labuan terjejas selama beberapa hari tidak boleh dipandang ringan.

“Saya memahami kerosakan teknikal boleh berlaku. Namun apabila satu kerosakan menyebabkan bekalan air kepada sebahagian besar Labuan terjejas berhari-hari, kita perlu melihat perkara ini dengan lebih serius,” katanya.

Mohd Rafi berkata, bekalan air merupakan keperluan asas rakyat dan tindakan kecemasan perlu diberi keutamaan bagi memastikan golongan serta premis kritikal tidak terus terjejas.

Ujarnya, hospital dan klinik, sekolah, masjid dan surau, premis makanan serta keluarga yang mempunyai warga emas, kanak-kanak dan individu yang memerlukan penjagaan khas perlu diberi perhatian utama sepanjang tempoh gangguan.

“Air adalah keperluan asas rakyat. Dalam keadaan sekarang, keutamaan mesti diberikan kepada mereka yang paling memerlukan, khususnya hospital, sekolah, rumah ibadat dan keluarga yang mempunyai golongan rentan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta jadual penghantaran lori tangki diumumkan secara terbuka mengikut kawasan bagi membolehkan penduduk merancang dan mendapatkan bekalan tanpa perlu menunggu dalam keadaan tidak menentu.

Mohd Rafi berkata, isu gangguan bekalan air bukan perkara baharu bagi masyarakat Labuan dan sudah tiba masanya penyelesaian yang lebih menyeluruh dilaksanakan bagi mengelakkan masalah sama terus berulang.

“Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus melalui masalah yang sama berulang kali tanpa penyelesaian menyeluruh. Selesaikan kerosakan segera, pastikan air sampai kepada rakyat dan berikan Labuan penyelesaian jangka panjang yang benar-benar berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan akan terus mengikuti perkembangan isu berkenaan dan membawa suara rakyat Labuan kepada pihak bertanggungjawab sehingga bekalan air kembali pulih.

“Sampai bila rakyat Labuan perlu menunggu? Rakyat bukan hanya memerlukan penjelasan, tetapi tindakan yang cepat, jelas dan berkesan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO