Tindakan Bekas MB Tidak Selari Perlembagaan Negeri Sembilan – Shamrahayu
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, segala urusan mengenai adat perlulah dirujuk kembali kepada Perlembagaan Negeri Sembilan.
Ujarnya, tindakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang tidak menandatangani proklamasi penurunan Yang di-Pertuan Besar sebelum ini dilihat tidak selari dengan perlembagaan negeri tersebut.

“Dalam isu ini, ada cara untuk ia dibawa ke mahkamah. Tetapi kita perlu beringat bahawa setakat hari ini, terdapat juga perkara yang bukan dalam bidang kuasa mahkamah.
“Contohnya, dalam kes Datuk Seri Othman Baginda di Negeri Sembilan, mahkamah menyatakan bahawa hal berkaitan adat perlu dirujuk kepada Perlembagaan Negeri Sembilan. Ketika itu, isu yang dibangkitkan juga berkaitan pelantikan. Jadi, kalau hal adat, kita perlu lihat apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara secara langsung yang bertajuk ‘Derhaka Atau Tidak’ sempena Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini, malam tadi.
Tambahnya, Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan telah menjamin perlembagaan negeri-negeri dan mewartakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam sebarang isu berkaitan negeri.
“Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan telah menjamin Perlembagaan negeri-negeri. Apa yang ada dalam negeri, itulah yang menjadi sebahagian daripada perjanjian antara negeri dengan Persekutuan. Persekutuan tidak akan campur tangan dalam perkara tertentu yang berkaitan negeri termasuk pelantikan Raja-Raja.
“Mesti ada satu proses yang dinamakan ‘enquiry’. Ia dijalankan secara tertutup bagi menjaga aib pihak yang terlibat. Itu adalah proses yang diamalkan dalam adat. Kita tidak boleh meminta untuk melihat minit proses tersebut kerana ia merupakan urusan pemerintahan negeri,” katanya lagi.
Tegasnya, setiap orang yang menjunjung kedaulatan negara mesti juga menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Dalam isu proklamasi pula, keputusan Undang Yang Empat adalah sah. Tetapi proklamasi tersebut hendaklah mendapat tandatangan Menteri Besar. Persoalannya, adakah Menteri Besar menderhaka sekiranya tidak menandatanganinya?
“Perlu dijelaskan bahawa bukan Menteri Besar yang menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar. Yang menjatuhkan ialah Undang, sebagaimana yang telah ditetapkan. Jadi, apabila timbul persoalan sebelum ini mengenai Menteri Besar yang tidak menandatangani, saya tidak melihatnya sebagai soal derhaka kepada Raja. Tetapi tindakan itu tidak menepati apa yang dimahukan oleh undang-undang,” katanya lagi.
Turut hadir ke program tersebut ialah Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii dan barisan pemimpin UMNO dari Wilayah Persekutuan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
