ILMUcode Buka Ruang Mahasiswa Terjemah Idea Kepada Inovasi – Zambry

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) membuka ruang yang luas kepada mahasiswa untuk menterjemahkan idea kepada aplikasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penguasaan teknologi dalam kalangan mahasiswa perlu disertai ilmu dan tanggungjawab agar manfaatnya dapat disalurkan kepada masyarakat.

“AI membuka ruang yang luas untuk mahasiswa menterjemahkan idea kepada aplikasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan ILMUcode, platform pengekodan berasaskan AI yang dibangunkan oleh YTL AI Labs, sebuah syarikat tempatan di Universiti Malaya (UM).

Menurut beliau, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa untuk membina kemahiran digital serta menghasilkan inovasi sejak awal pengajian.

“Saya menghargai komitmen YTL menyokong hampir 800 pelajar baharu Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM secara percuma sebagai projek perintis ILMUcode.

“Kerjasama universiti dan industri seperti ini penting untuk menyediakan bakat yang mampu mencipta teknologi serta menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry menyeru mahasiswa supaya berani mencuba dan membangunkan idea, selain menguasai teknologi dengan ilmu serta menggunakannya secara bertanggungjawab.

“Pesan saya kepada mahasiswa, beranilah mencuba dan membangunkan idea. Kuasai teknologi dengan ilmu, gunakan dengan penuh tanggungjawab dan pastikan manfaatnya sampai kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa ILMUcode selepas ini akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain bagi memudahkan proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan berlangsung. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO