Projek Tenaga Baharu Sabah Mesti Beri Manfaat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub menegaskan projek tenaga boleh baharu di Sabah perlu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, termasuk melalui pemindahan teknologi, peluang pekerjaan bernilai tinggi dan pembangunan bakat tempatan.

Beliau berkata perkara itu menjadi antara fokus dalam perbincangan bersama Mr. Mathieu Geze dari HDF Energy, Perancis, susulan kepulangannya dari China.

“Saya berkesempatan meneruskan perbincangan dengan Mr. Mathieu Geze dari HDF Energy, Perancis, mengenai inisiatif tenaga boleh baharu yang mampu memberikan impak sebenar kepada komuniti di Sabah,” katanya.

Hasnol yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut merakamkan penghargaan kepada SEDIA atas bimbingan dan fasilitasi yang diberikan, selain sentiasa mengingatkan bahawa setiap projek perlu meletakkan kepentingan komuniti sebagai teras.

Menurutnya, pendirian DPBS adalah jelas bahawa pembangunan projek bukan sekadar mengenai projek semata-mata, sebaliknya perlu membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah.

“Di DPBS, pendirian kami jelas… kami bukan sekadar mahukan projek. Kami mahukan pemindahan teknologi, pekerjaan bernilai tinggi, bakat tempatan yang berkemahiran dan penyertaan Bumiputera yang lebih kukuh dalam rantaian nilai ekonomi,” katanya.

Beliau berkata kejayaan sesuatu projek tidak seharusnya diukur berdasarkan saiznya semata-mata, tetapi berdasarkan sejauh mana ia mampu mengangkat rakyat, memperkasa perniagaan tempatan serta memindahkan pengetahuan kepada rakyat Sabah.

“Apabila projek berakhir, kemahiran, kepakaran dan peluang mesti kekal bersama rakyat kita,” katanya.

Hasnol turut menegaskan kepentingan rakyat, bakat tempatan dan komuniti perlu terus menjadi keutamaan dalam pembangunan Sabah.

“People first. Local talent first. Community first. Itulah masa depan yang kita perjuangkan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap masa depan Sabah serta potensi besar yang dimiliki rakyat negeri itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO