Wan Rosdy Sertai Pengujian ECRL KotaSAS-Gombak Sejauh 150 Kilometer

KUANTAN, 2 Okt – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai kanan Kerajaan Negeri berpeluang menyertai perjalanan Comprehensive Inspection Train (CIT) bagi pengujian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Stesen KotaSAS ke Terminal Bersepadu Gombak, semalam.

Perjalanan sejauh kira-kira 150 kilometer itu dapat ditempuh dalam tempoh sekitar satu jam 30 minit, sekali gus memberi gambaran terhadap keupayaan jajaran ECRL menghubungkan Pahang dengan Lembah Klang.

Menurut Wan Rosdy, perjalanan tersebut merupakan sebahagian daripada fasa pengujian ECRL bagi memastikan jajaran, sistem isyarat, bekalan elektrik serta komponen berkaitan berfungsi dengan baik sebelum perkhidmatan penumpang dimulakan.

“Alhamdulillah, perjalanan sejauh kira-kira 150 kilometer dari KotaSAS ke Gombak dapat ditempuh dalam sekitar satu jam 30 minit.

“Pengalaman ini memberi gambaran jelas tentang keupayaan ECRL sebagai sistem pengangkutan rel moden yang bukan sahaja pantas dan efisien, malah bakal menghubungkan Pahang dengan Lembah Klang dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, atas peluang yang diberikan untuk menyertai perjalanan pengujian berkenaan.

Wan Rosdy berkata, apabila ECRL mula beroperasi kelak, kemudahan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada rakyat, selain menyokong perkembangan sektor pelaburan, perdagangan, pelancongan dan pembangunan ekonomi negeri Pahang.

“ECRL bukan sekadar menghubungkan tempat, tetapi menghubungkan peluang dan masa depan,” katanya.

Pengujian menggunakan CIT itu merupakan antara langkah penting dalam memastikan aspek teknikal dan operasi ECRL berada pada tahap yang diperlukan sebelum perkhidmatan penumpang dimulakan.

Dengan jajaran yang menghubungkan Pantai Timur dan Lembah Klang, ECRL dijangka menjadi salah satu komponen penting dalam memperkukuh jaringan pengangkutan rel serta kesalinghubungan antara Pahang dan kawasan Lembah Klang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO