NADMA Genap 11 Tahun, Ahmad Zahid Hargai Komitmen Warga Pengurusan Bencana

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atas komitmen dan kecekalan dalam mengurus serta menyelaras bantuan ketika berdepan bencana.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, NADMA yang kini genap 11 tahun penubuhannya terus menjadi antara tonggak utama dalam aspek pengurusan dan kesiapsiagaan bencana negara.

“Setiap kali musibah melanda, warga NADMA sentiasa tampil menggalas tanggungjawab untuk menyelaras bantuan, menggerakkan tindakan dan memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara,” katanya menerusi kenyataan sempena ulang tahun ke-11 NADMA, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, tugas menguruskan bencana bukan sesuatu yang mudah, namun semangat kesiapsiagaan terhadap bencana perlu terus menjadi pegangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pasukan SMART NADMA yang berjaya mengekalkan pengiktirafan sebagai INSARAG Heavy Urban Search and Rescue (USAR) Team selepas melalui proses INSARAG External Reclassification (IER) MAS01 2026.

Katanya, pencapaian berkenaan membuktikan keupayaan dan tahap kesiapsiagaan pasukan penyelamat negara terus berada pada standard antarabangsa.

“Sebelas tahun ini telah membina satu asas yang kukuh buat NADMA. Saya berharap agar agensi ini akan terus diperkasa sebagai benteng kesiapsiagaan negara yang sentiasa selangkah di hadapan dalam menghadapi apa jua kemungkinan dan terus menjadi sandaran rakyat ketika musibah melanda,” katanya.

NADMA ditubuhkan bagi memperkukuh penyelarasan pengurusan bencana negara, termasuk aspek kesiapsiagaan, tindak balas serta pemulihan ketika berlaku bencana. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO