Sorok, Sembunyi Dan Nafikan… PKR Ulang Modus Operandi Lama?
KUALA LUMPUR, 1 Okt – “Ada pepatah Melayu berkata ‘orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getah.’ Ini yang berlaku di N9.”
Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar ekoran persoalan kewujudan dan pendedahan Minit Mesyuarat Dewan Keadilan Undang (DKU) Negeri Sembilan bertarikh 17 April 2026 yang didakwa menjadi titik bermulanya kemelut dan krisis melibatkan Istana dan Adat Pepatih di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, jika Addendum Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh disorokkan, tidak mustahil Minit Mesyuarat DKU yang menjadi pertikaian turut berdepan perkara sama.

“Jika Addendum Titah Diraja YDPA pun boleh disorokkan apalah sangat Minit Mesyuarat Dewan Keadilan Undang (DKU) yang bertarikh 17hb April 2026 yang menjadi pertikaian dan titik bermulanya kemelut dan krisis yang melanda apa yang sedang berlaku diantara Istana dan Adat Pepatih di Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut beliau, Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini menafikan menyorokkan minit mesyuarat berkenaan.
Beliau turut mengaitkan perkara tersebut dengan isu Addendum Titah Diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah diperkatakan di Parlimen.
“Siapa ingat dulu pun sama juga bila YB Senator Saifuddin Nasution Menteri KDN dengan perangai yang sama pun pernah menafikan di dalam Parlimen tentang kewujudan addendum titah diraja Bossku,” katanya.
Gulam Muszaffar mendakwa perkara tersebut seakan merupakan modus operandi PKR apabila berdepan isu yang melibatkan parti berkenaan.
“Ini semua modus operandi PKR bila ada isu yang melibatkan mereka, caranya sorok, sembunyi dan nafikan,” katanya.
Beliau turut mendakwa selepas perkara tersebut dinafikan, UMNO pula dipersalahkan dan dikaitkan dengan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan.
“Lepas sorok, sembunyi dan nafikan, buat pula ‘play victim’ kononnya UMNO pula yang jahat dan punca segala-galanya masalah kerana bersekongkol dengan pihak-pihak tertentu berhubung kemelut dan krisis yang sedang berlaku,” katanya.
Malah, beliau berkata UMNO turut dituduh sebagai parti derhaka.
“Yang lebih sadis menuduh UMNO pula parti derhaka,” katanya.
Dalam pada itu, Gulam Muszaffar berkata isu berkaitan titah pengampunan YDPA terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani tahanan di rumah juga dijangka akan terus menjadi pertikaian.
“Lepas ini percaya lah, titah pengampuan oleh YDPA buat YBhg DS Najib untuk tahanan dirumah pun akan berlaku perkara yang sama. Ada sahaja yang akan mereka ‘pusing’ selagi boleh,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan beberapa pihak yang menurutnya mendesak pendedahan Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan, sedangkan perkara sama tidak dilakukan terhadap Minit Mesyuarat DKU.
“YB Anthony ‘Olok-Olok’ letak syarat, Majlis Peguam cabar titah, bekas pemimpin Bersih iaitu Ambiga dan Maria Chin minta minit mesyuarat Lembaga Pengampunan pula didedahkan. Kenapa mereka berdua ini tidak pula mendesak untuk dedahkan Minit Mesyuarat DKU? ‘Double standard’ dan munafik,” katanya lagi. – UMNO Online
