Tiada Istilah ‘Lebihan Perbelanjaan’ … Lim Guan Eng Rujuk Mana?

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Tiada istilah “lebihan perbelanjaan” seperti yang dibangkitkan Ahli Parlimen Dap, Lim Guan Eng, melibatkan angka RM2.1 bilion, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, sebagai bekas Menteri Kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), Guan Eng sepatutnya lebih teliti dan bertanggungjawab sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

“Apakah asas beliau menggunakan istilah ‘lebihan perbelanjaan’ yang melibatkan angka RM2.1 bilion?

“Adakah beliau memetik angka tersebut daripada kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sebelum ini? Jika demikian, adakah beliau telah mendapatkan penjelasan mengenai maksud dan konteks sebenar kenyataan tersebut sebelum membuat kesimpulan?” katanya dalam kenyataan berkenaan hal terbabit.

Sehubungan itu, Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh meminta KSP menjelaskan maksud kenyataan terdahulu kepada Lim agar perkara tersebut tidak terus disalah tafsir.

Beliau turut menggesa Kementerian Kewangan mengambil tanggungjawab penuh untuk memberikan penjelasan yang jelas dan menyeluruh bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Pada pandangan saya, kenyataan Lim Guan Eng berniat jahat dan sengaja menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan kementerian berkenaan,” katanya.

Menurut Mohd Razlan, desakan tersebut juga dilihat bermotifkan politik dan bertujuan mencemarkan nama baik Datuk Seri Presiden UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saya menasihati Lim Guan Eng supaya mencermin diri terlebih dahulu sebelum membuat desakan sedemikian. Sewajarnya beliau memberikan tumpuan kepada urusan kesnya sendiri di mahkamah sebelum menuding jari kepada pihak lain,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sikap tersebut sebagai antara faktor yang menyebabkan ahli UMNO sukar menerima Dap.

“Sikap biadab seperti inilah yang menyebabkan ahli UMNO sukar menerima Dap. Kerjasama politik tidak seharusnya menjadi lesen untuk menyerang dan memburukkan rakan sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO